Cara Atasi Kulit Kaki Kering dan Gatal

Perkongsian artikel tentang cara atasi kulit kaki kering dan gatal. ini kerana, penampilan diri bukan sahaja dinilai pada penjagaan raut wajah tetapi ianya meliputi keseluruhan aspek dari hujung rambut sehinggalah ke hujung kaki. Namun kebanyakan dari kita hanya mementingkan penjagaan wajah dan badan sehingga mengabaikan bahagian kaki.

Ini tidak seharusnya berlaku kerana kaki merupakan anggota badan yang paling mudah terdedah dengan pelbagai jangkitan kulit dan kuman. Hal ini kerana kaki memiliki kalenjar minyak yang lebih sedikit berbanding kawasan badan yang lain. Keadaan ini boleh menyebabkan kawasan kaki akan menjadi kering, kasar, gatal atau pecah jika tidak menjaganya dengan baik.

Melalui artikel dari Medical News Today keluaran Disember 2019, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan keadaan kulit kaki menjadi kering dan gatal. Antaranya ialah:

  • Kurang kelembapan
  • Pemakaian sepatu atau kasut yang tidak sesuai
  • Berdiri terlalu lama
  • Keadaan panas dan lembap yang tidak seimbang disebabkan kasut tertutup
  • Penggunaan sabun yang mengandungi bahan kimia yang tidak sesuai
  • Proses penuaan
  • Penggunaan ubatan

 

Faktor-faktor ini menjadi kelaziman kepada kita semua lebih-lebih lagi kepada kaum wanita yang perlu memakai kasut bertutup dan bertumit tinggi sehingga 8 jam sehari demi tuntutan kerja atau rutin kehidupan seharian. Namun begitu, masalah ini masih boleh diatasi dengan mengamalkan beberapa langkah atau cara yang berkesan bagi mencegah kulit kaki dari terus kering dan gatal.

Terdapat 5 cara mudah yang boleh dilakukan dan diamalkan ialah:

1. Penggunaan losyen atau pelembap

Pilih losyen atau pelembap yang bersifat organik atau tidak mengandungi terlalu banyak bahan kimia yang boleh mendatangkan radangan kepada kulit. Jika anda ragu-ragu tentang bahan kandungan losyen tersebut sesuai dengan kulit atau tidak, jangan segan untuk bertanya kepada pakar kulit atau ahli farmasi yang bertauliah.

Sapu sekurang-kurangnya dua kali sehari untuk mengekalkan kelembapan kulit di kawasan kulit kaki.

 

2. Minyak sayuran

Anda boleh gunakan minyak sayuran seperti minyak zaitun, minyak kelapa atau minyak almond untuk merawat keadaan kulit kaki yang pecah dan gatal kerana tekstur minyak yang lebih mudah meresap jauh ke dalam kulit serta mengandungi kandungan vitamin yang tinggi. Penggunaan minyak juga dapat meningkatkan kelembapan kawasan kulit serta merawat rekahan yang lebih teruk.

Antara langkah berkesan untuk menggunakan minyak sayuran bagi merawat kulit kaki yang bermasalah ialah:

  • Rendam kaki di dalam air suam dan gosok tumit dengan cermat.
  • Cuci kaki dan keringkan
  • Sapu minyak sayuran ke bahagian tumit kaki
  • Pakai stoking bersih sepanjang malam ketika tidur. Anda akan dapati tumit kaki anda menjadi lebih halus keesokkan paginya. Ulang langkah sehingga kawasan yang kering menjadi lebih halus dan lembut!

 

3. Lemon dan garam

Buah lemon juga boleh digunakan bagi merawat kulit kaki yang pecah dan gatal. Ini kerana ianya mampu menyingkirkan sel-sel kulit mati pada kulit.

Garam juga berfungsi dalam mencegah jangkitan pada luka atau kulit kaki yang pecah.

Cara penggunaannya amat mudah iaitu anda hanya perlu rendam kaki dalam air suam yang telah dicampur dengan lemon dan garam selama 10-15 minit. Elak daripada menggunakan air yang terlampau panas kerana ianya dapat membuatkan kaki bertambah kering.

Gosok dan cuci serta keringkan kaki sepenuhnya.

 

4. Tepung beras dan madu

Dua bahan hebat ini boleh kita jadikan sebagai masker atau scrub untuk disapukan dibahagian kaki yang pecah dan gatal.

Madu bertindak sebagai pelembap dan agen antibakteria dalam merawat kulit kaki yang pecah dan  gatal. Manakala tepung beras mempunyai tekstur kasar yang dapat membantu menghapus rekahan pada kulit kering.

Anda boleh gabungkan kedua bahan ini menjadi pes yang boleh berfungsi sebagai scrub atau rendam kaki anda ke dalam air suam berisi madu selama 10-15 minit. Kedua-dua langkah ini boleh diamalkan secara berterusan bagi membantu kulit kaki menjadi lembut kembali.

 

5. Guna sarung kaki dan kasut yang sesuai

Gunakan sarung kaki yang mampu menyerap peluh dengan baik seperti bahan dari jenis benang bulu dan kapas. Pastikan juga sarung kaki tersebut tidak ketat dan mampu mengawal pengaliran darah dengan baik di bahagian kaki.

Kebersihan sarung kaki perlu dijaga dan ianya perlulah ditukar setiap hari.

Selain itu, guna atau pakai kasut yang sesuai dari segi saiz dan keselesaan pada kaki. Elakkan memakai kasut yang basah kerana ianya terdedah kepada kuman dan bakteria yang terperangkap.

 

Penjagaan kaki sememangnya amat penting kerana kaki merupakan anggota badan yang amat bernilai kepada kita semua. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia melalui portal myhealth.gov.my menyatakan bahawa kaki mempunyai 26 tulang, 33 sendi, 107 ligamen dan 19 otot yang mewakili ¼ daripada tulang di dalam badan kita. Tanpa kaki yang sihat, kita mampu hilang keseimbangan dalam tubuh badan kita.

Justeru, jaga dan hargailah pemberian Tuhan yang amat bermakna ini!

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh