Ibu

Penjagaan Rambut Gugur Yang Berkesan

Masalah rambut gugur bukan sahaja dihadapi oleh golongan wanita tetapi juga menjadi satu dilema yang besar kepada golongan lelaki. Di dalam istilah perubatan, keguguguran rambut disebut sebagai  Alopecia. Alopecia boleh menjadi sementara atau kekal dan ianya boleh terjadi tanpa mengira jantina namun lebih cenderung kepada kaum lelaki.

Sebagai langkah penjagaan awal untuk mengelakkan masalah keguguran rambut ini berlaku atau lebih buruk terdapat beberapa petua atau tips yang boleh diamalkan.

Pemakanan yang seimbang

Terdapat 9 jenis vitamin yang boleh mengurangkan masalah keguguran rambut yang anda boleh perolehi melalui makanan di sekeliling anda. Sembilan vitamin tersebut :

  1. Vitamin AProduk haiwan seperti susu, telur dan yogurt. Minyak ikan kod juga sumber vitamin A yang baik untuk menghasilkan sebum bagi melembapkan kulit kepala.
  2. Vitamin B – Vitamin untuk menguatkan folikel rambut. Anda boleh dapatkan vitamin ini dari pelbagai sumber seperti bijiran, badam, daging, ikan, makanan laut dan sayur-sayuran hijau gelap.
  3. Biotin (Vitamin H) – Biotin berupaya untuk mencegah uban serta membantu dalam pertumbuhan kulit dan kuku. Biotin boleh didapati di dalam susu, yis, dan kuning telur.
  4. Zat besi (Iron) – Zat besi membantu sel darah membekalkan oksigen ke sel anda. Ini membantu anda mencegah penyakit anemia yang menjadi penyebab utama keguguran rambut. Zat besi terdapat dalam kerang, tiram, telur, daging merah, bayam dan lentil.
  5. Vitamin C – Membantu dalam menghasilkan kolagen yang dapat menguatkan struktur rambut yang mudah bercabang. Contoh sumber vitamin C ialah buah strawberi, lada, jambu dan buahan sitrus.
  6. Vitamin E – Berfungsi sebagai antioksidan yang membantu dalam pertumbuhan rambut. Contoh sumber ialah seperti biji bunga matahari, badam, bayam dan alpukat.
  7. Vitamin D – Berfungsi dalam membantu mencipta folikel baru iaitu liang kecil pada permukaan kulit kelapa untuk pertumbuhan rambut. Sumber vitamin D ialah minyak ikan kod, dan beberapa jenis cendawan.
  8. Omega 3 – Membantu dalam menyuburkan dan melindungi rambut serta membantu pertumbuhan semula. Asid lemak Omega-3 adalah asid lemak yang bertanggungjawab untuk pertumbuhan membrane sel yang sihat. Contoh sumber Omega-3 termasuklah tenggiri, salmon, tiram, sardine, biji chia, walnut dan kacang soya.
  9. Asid folik – Berfungsi dalam meningkatkan penghasilan sel yang sihat sekaligus menjadikan rambut anda lebih lebat dan berkilat. Makanan yang kaya dengan asid folik ialah gandum dan bijirin. Selain itu, semua buah sitrus, kacang kering, dan semua sayuran hijau seperti bayam, brokoli, kacang Perancis, dan juga cili.

Produk Penjagaan Rambut

Selain dari menjaga aspek pemakanan yang seimbang, penggunaan produk yang sesuai juga amat penting bagi membantu pertumbuhan rambut yang sihat. Terdapat beberapa langkah mudah yang boleh diamalkan seperti:

  1. Penggunaan hair oil yang sesuai dengan kuantiti yang ideal sebelum mencuci rambut. Fungsinya ialah untuk melembapkan rambut serta kulit kepala.
  2. Mencuci rambut dengan shampoo yang sesuai dengan masalah rambut dan kulit kepala. Jika tidak pasti jenama atau jenis bagaimana shampoo yang perlu anda guna, jangan malu untuk dapatkan khidmat nasihat daripada ahli farmasi.
  3. Penggunaan conditioner selepas mencuci rambut bagi mengelakkan rambut gugur. Conditioner juga berfungsi untuk membekalkan nutrisi kepada akar rambut agar terus kuat dan sihat.
  4. Hair tonic. Penggunaan hair tonic haruslah semasa keadaan rambut sudah kering agar ianya lebih mudah meresap kepada rambut. Manfaat hair tonic adalah untuk menguatkan rambut, menambahkan kilauan pada rambut, mengurangkan rambut patah dan juga membekalkan nutrisi untuk menguatkan akar rambut.
  5. Serum rambut. Penggunaan serum adalah penting bagi memberi kelembapan kepada rambut sekaligus mengelakkan kekeringan rambut yang teruk. Serum perlu dipakai kepada permukaan rambut sahaja dan bukannya terus kepada kulit kepala.
  6. Hair mist. Merupakan langkah terakhir dalam penjagaan rambut seharian anda. Hair mist penting dalam mengekalkan keadaan rambut sepanjang hari serta memberi anda keyakinan kerana ianya berfungsi untuk mewangikan rambut anda. Aktiviti seharian yang padat pasti akan menjejaskan keadaan rambut terutamanya kepada kaum wanita yang memakai tudung sepanjang hari.

Setiap langkah yang diamalkan dalam penjagaan rambut haruslah konsisten kerana ianya tidak dapat dilihat dalam tempoh yang singkat. Penjagaan makanan yang seimbang serta penggunaan produk yang sesuai adalah langkah terbaik bagi anda yang mempunyai masalah keguguran rambut. Jangan lupa amalkan gaya hidup yang sihat serta kurangkan tekanan dalam diri. Selamat Berjaya dalam menyelamatkan rambut anda!

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh