Faktor Rakyat Malaysia Kurang Membaca Buku

Kita sedia maklum bahawa amalan membaca sangat penting untuk melahirkan generasi yang mampan dan berdaya saing. Kita semua sedar  bahawa tabiat membaca sangat mempengaruhi cara kita berfikir dan bertindak. Seseorang yang rajin membaca lain cara pemikirannya. Mereka boleh berhujah dengan mantap berdasarkan fakta yang tepat dan mengeluarkan idea yang bernas serta tidak mudah dimanipulasi oleh mereka yang ingin mengambil kesempatan sekaligus menambah ‘value’ atau ‘added quality’ pada manusia.

Tahap intelektualiti manusia biasanya diukur pada tahap ilmunya. Justeru, untuk meningkatkan ilmu, maka kita haruslah rajin membaca. Maksud membaca disini adalah bukan membaca bahan bacaan yang santai dan ringan seperti berita semasa, sosial media atau info ringkas tetapi membaca buku ilmiah.

Islam telah meletakkan kedudukan ilmu sebagai perkara yang paling asas kepada kehidupan seseorang manusia. Lihatlah betapa besarnya kedudukan ilmu di sisi agama Islam apabila ayat pertama yang diterima oleh Nabi Muhammad s.a.w adalah mengenai ilmu iaitu Allah s.w.t berfirman menerusi Surah Al-Alaq ayat 1 “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)”.

Tahukah anda statistik kajian pada 1997 menunjukkan purata rakyat Malaysia hanya membaca sehelai muka surat buku dalam setahun dan pada tahun 2002 pula statistik meningkat kepada dua muka surat setahun. Menerusi kajian Interim pada tahun 2014 oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapati rakyat Malaysia membaca sebanyak 15 buku setahun.

Jika kita lihat terdapat peningkatan yang mendadak dari sudut gaya pembacaan rakyat Malaysia dari tahun 1997 ke tahun 2014. Ia merupakan suatu peningkatan angka yang sangat membanggakan namun perlu diketahui data ini hanya memberi gambaran secara umum tetapi tidak dinyatakan genre secara tepat. Jika dibandingkan dengan negara luar pula Malaysia sebenarnya agak ketinggalan.

Hal ini boleh dilihat pada kajian yang menunjukkan Mahasiswa di Malaysia hanya membaca 4 buah buku setahun sedangkan negara lain seperti Australia ialah 180 buku, Indonesia 94, India 130, Thailand 56 dan Brunei 26 buku setahun.

Statistik terbaharu melalui NOP World Culture Score Index menunjukkan bahawa India merupakan negara yang paling banyak menghabiskan masa dengan membaca iaitu melebihi 10 jam seminggu diikuti oleh Thailand dan China yang rata-ratanya membaca selama 8 hingga 9 jam seminggu. Realiti ini agak menyedihkan kerana Malaysia tidak tersenarai dalam data tersebut. Hal ini kerana rakyat Malaysia membaca tidak melebihi 3 jam seminggu iaitu sangat kurang berbanding negara lain.

Sumber bacaan media digital

Pada masa kini, bahan bacaan diterbitkan dalam pelbagai format selain bercetak. Format digital atau secara online semakin menjadi pilihan utama masyarakat pada masa kini kerana ianya lebih mudah, pantas malah ada yang menawarkan bahan bacaan online secara percuma.

Selari dengan ledakan teknologi semasa, bahan bacaan seperti e-book juga kini senang untuk didapati dan boleh dimuat turun dengan pantas. Namun, sejauh mana masyarakat Malaysia mengutamakan bahan bacaan yang berkualiti itu lah yang seharusnya menjadi persoalan.

Pada hari ini lebih ramai yang suka membaca secara atas talian yang kadang kala sumbernya tidak jelas dan tidak informasinya tidak menyeluruh. Tidak salah untuk membacanya namun sikap ini haruslah diselarikan dengan bacaan buku. Membaca buku tidak sama dengan membaca di internet. Membaca buku akan membuka suatu sudut ruang minda untuk berfikir dengan lebih holistic, dengan lebih mendasar dan kita juga mampu membuat penilaian dan pemerhatian yang tajam berdasarkan fakta dan idea yang konkrit.

Bahan bacaan di internet kebanyakannya bersifat untuk memancing pembaca dengan memaparkan tarikan gambar berbanding maklumat, gaya bahasa dan penulisan juga adakalanya tidak mengikut standard tatabahasa yang betul. Teknologi tidak harus dipersalahkan kerana ia merupakan suatu alat kemudahan namun bagaimana kita menguruskan penggunaan teknologi itu seharusnya diberi perhatian yang serius dan sewajarnya.

Penggunaan gajet yang berlebihan

Isu ini tidak boleh dikesampingkan meskipun ramai yang telah membahaskan keburukan gajet terutama kepada golongan remaja dan kanak-kanak. Bagaimana untuk melahirkan masyarakat yang suka membaca andai generasi pada hari ini lebih cenderung menghabiskan masa bermain gajet?

Ramai kanak-kanak kini sudah tidak lagi merasakan aktiviti membaca sebagai suatu yang menyeronokkan. Hal ini kerana pendedahan pada skrin yang terlalu lama mempengaruhi daya tumpuan seseorang termasuklah golongan dewasa sedangkan membaca perlu memperuntukkan masa untuk menghabiskan helaian demi helaian.

Situasi penggunaan gajet ini boleh dilihat dimana-mana tidak kira di restoren, di pusat beli belah, di dalam lif malah di dalam tandas pun masih sempat untuk bermain telefon pintar dan gajet. Masyarakat seharusnya mempunyai kesedaran tentang keburukan penggunaan gajet ini terutamanya bagi kanak-kanak. Ibu bapa berperanan mendidik anak agar minat membaca sejak dari kecil bukannya bermain gajet!

Tiada didikan ibu bapa

Tidak dapat dinafikan bahawa sikap malas diri sendiri menjadi punca mengapa seseorang itu malas membaca tetapi peranan ibu bapa dalam soal ini sangat mempengaruhi nilai generasi masa depan. Bagaimana kita ingin melatih anak-anak atau remaja membaca jika ibu bapa sendiri malas untuk membaca? Sedangkan ibu bapa dan guru-guru merupakan role model kepada anak-anak.

Siapa lagi anak-anak patut contohi jika bukan ibu bapa. Ibu bapa jarang membelikan anak-anak bahan bacaan. Mungkin ada yang beranggapan sesetengah buku di pasaran agak mahal. Perkara ini tidak seharusnya dijadikan alasan kerana pendidikan adalah pelaburan yang terbaik untuk anak-anak. Kini banyak karnival buku yang diadakan seperti Pesta Buku Antabangsa yang diadakan saban tahun malah karnival buku Big Bad Wolf juga kini sering dianjurkan.

Ibu bapa seharusnya menggunakan peluang ini untuk membeli stok buku yang boleh dibaca sekurang-kurangnya untuk jangka masa setahun. Banyak buku ilmiah seperti buku motivasi, buku agama, buku biografi atau travelog boleh didapati pada kadar diskaun sehingga 20% di Pesta Buku Antarabangsa malah di Big Bald Wolf kebanyakan buku berbahasa Inggeris berharga RM3-RM8 senaskhah. Harga yang ditawarkan ini sangatlah murah. Oleh itu, cuba peruntukkan bajet tahunan untuk membeli buku dan bukannya membeli perkara yang tidak berfaedah.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh