Cara Merawat Penyakit Hati Dalam Islam

Cara Merawat Penyakit hati Dalam Islam. Terdapat dua jenis penyakit yang perlu kita ketahui iaitu penyakit hati dan penyakit jasmani. Jika seseorang itu menghidap penyakit jasmani, ia mudah untuk dikesan kerana simptomnya boleh dilihat jelas dengan mata kasar seperti sakit jantung, sakit kencing manis, sakit darah tinggi dan sebagainya.

cara merawat hati dalam islam

cara merawat hati dalam islam

Doktor juga mudah merawat penyakit yang berbentuk fizikal ini dengan pengambilan ubat-ubatan tertentu bersesuaian dengan penyakit yang dihadapi oleh pesakit. Namun bagaimana pula jika seseorang itu mengalami penyakit hati? Bagaimana untuk mengesan penyakit hati ini dan bagaimanakah pula cara untuk merawatnya?

Penyakit yang berkaitan dengan hati ini sangat rumit kerana ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan memberi impak yang besar andai tidak dirawat dengan betul. Antara cara untuk mengetahui bahawa kita terhindar dari penyakit hati adalah apabila sentiasa merasa tenang. Tenang setenang-tenangnya. Itulah nikmat yang paling berharga selepas nikmat iman. Iaitu nikmat sihat jasmani dan rohani.

Andai diri selalu diselubungi oleh perasaan resah, gelisah, risau, galau atau dalam bahasa sekarang adalah penyakit anxiety yang sering dihadapi masyarakat kini. Malah, pada tahun 2020, penyakit mental iaitu kemurungan dikatakan merupakan penyakit kedua tertinggi di Malaysia selepas penyakit jantung.

Ketahuilah penyakit mental ini sangat berkait rapat dengan hati kerana fikiran dan hati merupakan suatu unsur yang saling bekerjasama bagi menentukan corak kehidupan seseorang selain Allah ciptakan nafsu sebagai ujian kepada manusia dan juga syaitan yang sentiasa menggoda anak Adam untuk melakukan maksiat dan kerosakan.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda, “Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya.

Daging yang dimaksudkan ini adalah hati, riwayat Bukhari dan Muslim. Antara perkara yang termasuk dalam penyakit hati contohnya adalah iri hati, ghibbah, kedekut, riyak, sombong, menyebarkan fitnah, ujub, tamak, dan sombong.

Dalam buku Tazkiyatun Nufus, menyatakan penyakit hati adalah apabila seseorang tidak berasa apa-apa apabila melakukan maksiat kerana salah satu punca matinya hati adalah kerana banyaknya melakukan maksiat. Selain itu, racun kepada hati itu juga adalah banyak berbicara, banyak makan, tidak menjaga pandangan dan pergaulan.

Ingatlah hanya Allah yang menyembuhkan sesuatu penyakit. Allah berfirman dalam Surah As-Shuara Ayat ke 80, “Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuh penyakitku.”

Penyakit yang berkaitan hati ini boleh disembuhkan melalui petunjuk para Rasul. Sebelum baginda nabi Muhammad s.a.w wafat, baginda telah meninggalkan dua perkara iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Barangsiapa yang beramal dengannya, kita tidak akan sesat buat selama-lamanya. Al-Quran merupakan mukjizat teragung, namun berapa ramai diantara kita yang benar-benar beramal dengan isi kandungan Al-Quran? Kehebatan Al-Quran melangkaui zaman dan tiada sempadan termasuklah dalam pengubatan berkaitan dengan penyakit jasmani mahupun rohani.

Allah telah pun menyebut dengan jelas melalui Al-Quran menerusi Surah Yunus ayat ke 57 “Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran Al-Quran daripada Tuhanmu, penyembuh bagi penyakit yang ada di dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman”.

Lihat Allah telah mengatakan Al-Quran sebagai penawar malah ada beberapa ayat Al-Quran Allah ulangi perkataan Syifa’. Oleh itu, sama-samalah kita menggali khazanah ilmu Al-Quran dan belajar secara metadologi pasti banyak hikmah yang akan perolehi yang bukan sahaja mendatangkan kebaikan dunia dan akhirat malah ia juga berkesan merawat penyakit batiniah.

  • Jaga hubungan dengan Allah

Dalam merawat penyakit berkaitan hati, tidak mahu tidak kita perlu kembali kepada Allah. Caranya adalah dengan menjaga hubungan dengan Allah. Usahalah untuk perbaiki mutu dan kualiti ibadah seperti solat. Belajarlah kembali perkara asas Fardu Ain yang menjadi kewajipan umat Islam untuk mempelajarinya. Berusahalah untuk menambahkan ilmu pengetahuan dengan mendengar ceramah dan menghadiri majlis ilmu. Jika kita rasa kita sudah banyak tahu hakikatnya masih banyak lagi perkara yang kita tidak tahu. Pernah tak terfikir kenapa Allah datangkan banyak masalah dalam hidup? Kenapa selalu rasa ada je perkara yang tak kena dengan diri kita? Mungkin kita dah terlalu jauh dari Allah.

Cuba fikir dalam sehari berapa kali kita ingat Allah? Mungkin dalam solat pun kita masih lagi lalai dari mengingati Allah. Menurut kata ulama, umat islam di akhir zaman ini untuk mencapai separuh khusyuk semasa solat pun susah sedangkan kualiti hidup seorang muslim itu bergantung pada kualiti solatnya. Allah telah menyebutnya dengan jelas dalam Al-Quran dalam Surah Al-Mukminun ayat pertama, “Maka berjayalah orang-orang yang khusyuk ketika solat.

Jika solat kita terjaga maka hidup kita akan merasa bahagia dan tenang. Para sahabat zaman Rasulullah s.a.w sangat menjaga ibadah solat mereka kerana dengan solatlah mereka dapat mencapai kehidupan yang aman tenteram. Sebagai contoh, Abdullah bin Umar, yang merupakan seorang sahabat besar Rasulullah yang banyak menulis dan meriwayatkan hadis dari baginda sentiasa merasa tenang selama 30 tahun solat berjemaah di rumah Allah. Thauban merupakan seorang sahabat yang sangat mencintai Rasulullah s.a.w tidak pernah meninggalkan solat berjemaah di masjid bersama-sama Rasulullah.

Jarak rumahnya dengan masjid sangat jauh sehingga berjam-jam lamanya. Suatu hari Thauban tidak menunaikan solat berjemaah di masjid. Rasulullah menunggunya pada hari tersebut sehingga solat subuh dilewatkan kerana menunggu Thauban. Akhirnya Rasulullah s.a.w pergi ke rumah Thauban dan bertemu isterinya. Isterinya mengatakan bahawa Thauban telah meninggal dunia sewaktu ingin pergi mengerjakan solat subuh. Melalui cerita ini, tahulah kita bahawa yang menjarakkan Thauban dengan rumah Allah hanyalah kematian. Lihat, betapa hebatnya para sahabat memelihara solat mereka. Kesimpulannya, jagalah solat untuk dijauhi dari penyakit hati. 

  • Sentiasa berzikir ingat Allah

“Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.” Demikianlah maksud kata-kata Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat ke 28. Salah satu sebab manusia sering dihinggapi oleh penyakit hati adalah kerana meletakkan ruang di hati yang sepatutnya hanya ada Allah dengan perkara lain contohnya kecintaan yang melampau terhadap dunia seperti mengejar harta, pangkat, berbangga dengan keturuna  dan sebagainya. Janganlah sesekali kita meletakkan kecintaan dan keinginan pada makhluk dan dunia melebihi Pencipta kerana sampai bila-bila pun kita tak akan bahagia. Kata pepatah, dunia ini biarlah berada pada genggaman manakala akhirat berada di hati. Oleh itu, sentiasalah bersihkan hati dengan zikir dan istighfar. Dari Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda, “Seorang hamba apabila melakukan suatu kesalahan, maka terjadilah satu titik hitam dalam hatinya. Apabila ia meminta ampun serta bertaubat, hatinya dibersihkan. Apabila ia kembali berbuat maksiat, maka ditambahkan titik hitam tersebut hingga menutupi seluruh ruang hatinya. Apabila hati telah hitam, maka sukarlah untuk menerima kebenaran dan petunjuk dari Allah. Kadang kala kita lupa bahawa hati kita sudah terlalu lama dahagakan ketenteraman kerana seringkali diabaikan. Maka basahilah lidah dengan zikrullah kerana dalam hati seorang manusia itu ada keperluan dan kekurangan yang tidak dapat dipenuhi dengan apapun kecuali dengan mengingati Allah. Ketahuilah, beza orang yang mengingati Allah dan tak meningati Allah adalah ibarat hidup dan mati.

  • Menjauhi maksiat

Iman seseorang itu meningkat apabila melakukan amal kebaikan dan iman seseorang itu menurun apabila melakukan maksiat. Kita sedia maklum tentang hal ini namun sejauh mana kita telah meninggalkan maksiat? Ramai diantara manusia apabila telah tersasar pada jalan yang salah ingin berubah tapi tidak tahu cara dan bagaimana ingin melakukannya. Perlu anda ketahui bahawa penyakit yang berkaitan dengan hati ini sangat kompleks dan konteksnya sangat meluas.

Pertama, haruslah dikenalpasti terlebih dahulu punca kepada penyakit hati kerana ia boleh datang dari pelbagai sumber.  Oleh itu sentiasalah bermuhasabah dan memperbaiki diri. Apabila seseorang itu meninggalkan maksiat, kita sedang membersihkan hati. Sabda Rasulullah, apabila seorang manusia itu meninggalkan maksiat kerana Allah, nescaya Allah akan menggantikannya dengan nikmat dengan kelazatan melakukan ibadah. Hari ini berapa ramai manusia yang melakukan maksiat seperti tidak menjaga pergaulan antara lelaki dan wanita, menonton video yang tidak berfaedah, memakan riba, menerima rasuah dan banyak lagi jenis maksiat yang lain.

Bagaimana mungkin hati kita boleh menghadap Allah dalam keadaan keadaan penuh dosa. Allah itu Maha Suci, justeru bertekadlah untuk mensucikan diri dari maksiat dengan benar-benar bermujahadah. Sudah tiba masanya untuk kita reprogramkan minda agar mengikut setting yang betul. Hari ini kita banyak memfokuskan manusia dari mengenal Allah. Kita lebih suka ambil tahu isu isu remeh dan tidak membina seperti membaca gosip murahan, berbicara tentang artis atau selebriti dan mengutamakan material berbanding berusaha untuk mengenal diri dan pencipta. Kita berbicara untuk memperbaiki penyakit hati namun pokok pangkal asasnya kita tidak ambil peduli. Justeru, audit lah diri dengan mencari solusi untuk menjauhi dosa.

  • Bersederhana apabila makan

Nafsu itu sukakan kepada lima perkara iaitu makan yang berlebihan, bercakap berlebihan, rehat berlebihan, hiburan yang berlebihan dan tidur yang berlebihan. Menjaga makan dan minum itu bukan sahaja untuk menjaga kesihatan fizikal namun ia juga memberi kesan kepada kesihatan hati kita. Antara cara untuk berwaspada daripada datangnya penyakit adalah dengan cara besederhana dalam makan dan minum. Ingatlah bahawa 1/3 perut kita harus diisi dengan makanan, 1/3 dengan minuman dan 1/3 dengan udara.

Apabila makan terlalu kenyang maka mudah rasa mengantuk seterusnya malas melakukan ibadah. Apabila malas melakukan ibadah, lama-kelamaan hati menjadi keras. Orang-orang soleh zaman dahulu jika kita perhatikan mereka makan sangat sedikit. Mereka makan sekadar untuk menyambung hayat kerana mereka ingin menjaga mutu dan kualiti ibadah. Sebagai contoh, Imam An-Nawawi dikatakan hanya makan sekali sehari dan tidur hanya satu jam setiap hari kerana banyak masa beliau dihabiskan untuk menulis buku.

Hasilnya, karya beliau iaitu Hadith 40 dikenali dan diguna oleh seluruh masyarakat dunia hingga kini. Kata Saidina Ali bin Husin, “Sungguh, Allah mengumpulkan seluruh ilmu kesihatan dalam Surah Al-Araf ayat ke 31 iaiti “makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan.” Mungkin kita diberi kurnia dengan rezeki yang melimpah. Ya, tidak salah untuk kita makan. Namun, berpada-padalah. Jangan sampai membazir dan membuatkan kita bermalas-malasan untuk beribadah kepada Allah.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh