Cara Mengatasi Masalah Bunuh Diri Dalam Kalangan Remaja

Peningkatan kes-kes bunuh diri melibatkan artis terkenal dunia pada usia yang masih muda sememangnya menjadi satu bualan hangat dalam kalangan masyarakat kini. Pelbagai pandangan dan tafsiran mengenai isu ini dapat dilihat samada dari sudut positif mahupun negatif.

Dari sudut positif, masyarakat mula sedar akan bahaya masalah bunuh diri ini dan mula mencari maklumat berkaitan penyebab serta kesan kepada individu yang terlibat. Namun, tidak kurang juga berfikiran negatif dengan hanya menunding hari menyalahkan si pelaku tanpa mengambil kira aspek-aspek luaran dan dalaman yang menyebabkan masalah ini terjadi.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2019, telah menunjukkan hampir 800,000 individu kehilangan nyawa akibat bunuh diri setiap tahun di seluruh dunia (satu nyawa pada setiap 40 saat, kadar bunuh diri global bersamaan 11 orang bagi setiap 100,000 penduduk). Golongan yang paling menjadi risiko bunuh diri adalah golongan remaja yang berusia antara 15 hingga 29 tahun.

Di Malaysia, masalah bunuh diri turut menjadi isu nasional yang tidak boleh dipandang ringan oleh setiap pihak. Ini kerana peningkatan kadar bunuh diri dalam kalangan remaja tanpa mengira bangsa telah menjadi trend kebimbangan terbaru kepada masyarakat.

Masalah bunuh diri berpunca daripada masalah kemurungan melampau yang dialami oleh individu. Masalah kemurungan ini bermula apabila individu berkenaan tidak mampu mengurus dan menyelesaikan tekanan dengan betul. Tekanan hidup yang berterusan serta tidak ditangani akan mencetuskan rasa kemurungan dalam diri individu dan boleh membawa kepada gejala mental yang tidak sihat.

Persoalan utama pada hari ini adalah, bagaimanakah kita sebagai individu, keluarga dan masyarakat dapat membantu remaja yang mengalami kemurungan dari tidak terjerumus ke dalam masalah bunuh diri ini?

Di sini, terdapat 5 cara atau kaedah yang boleh dilakukan bagi menangani masalah bunuh diri dalam kalangan remaja.

1. Elakkan Berseorangan

Individu yang menghadapi kemurungan cenderung untuk menyendiri atau mengelakkan diri daripada menyertai mana-mana aktiviti berkelompok. Keadaan ini tidak akan membantu mereka keluar daripada kepompong masalah kerana tekanan yang disimpan akan lebih merebak di dalam jiwa mereka.

Sebagai individu yang bertanggungjawab, jika anda melihat atau mengesan individu disekeliling anda yang mempunyai kedaan sebegini, bantulah dengan mengeluarkan mereka dari dunia mereka sendiri. Mulakan perbualan dengan berhemat, dalami perasaan serta kecelaruan yang mereka alami, dan berilah nasihat yang sewajarnya.

Komunikasi dua hala yang berkesan serta sokongan moral yang tinggi mampu menyelamatkan individu berkenaan daripada terus berada dalam tekanan dan kemurungan yang melampau.

2. Jauhkan Diri Daripada Individu atau Persekitaran yang Negatif

Tekanan hidup sememangnya berpunca daripada individu ataupun persekitaran yang negatif. Sebagai contoh, remaja yang mempunyai latar belakang keluarga yang berpecah belah atau pengaruh rakan sebaya yang sentiasa melanggar disiplin mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk terlibat dengan masalah ini.

Persekitaran yang tidak sihat juga seperti kawasan perumahan yang kotor serta dipenuhi dengan gejala disiplin yang teruk sedikit sebanyak mempengaruhi kesihatan mental seseorang.

Carilah rakan sebaya yang positif serta dapat membantu kita menghadapi kehidupan dengan lebih baik kerana pemilihan rakan sebaya dapat memberi kesan yang sangat besar dalam diri serta persekitaran.

3. Lakukan Aktiviti yang Menyeronokkan

Kenalpasti hobi serta minat anda dan jadikan ia sebagai salah satu cara untuk melegakan tekanan dalam diri yang anda. Melakukan aktiviti kegemaran anda dalam keadaan yang menyeronokkan akan memberi kepuasan dalam diri.

Carilah aktiviti yang menyeronokkan tidak kira outdoor atau indoor dan lakukannya bersama-sama keluarga atau rakan-rakan. Aktiviti sihat seperti hiking, cycling, dan larian menjadi pilihan ramai pada masa kini kerana selain ianya menyihatkan badan serta mental, ianya juga dapat membina satu hubungan yang erat jika dilakukan bersama-sama orang kita sayangi.

4. Mendapatkan Nasihat Daripada Doktor Psikologi

Jangan takut atau malu untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rawatan daripada individu yang lebih professional seperti pakar psikologi. Persepsi negatif masyarakat yang menyatakan bahawa individu yang mempunyai masalah mental atau gila sahaja yang mendapatkan rawatan psikologi seharusnya dibuang kerana masalah mental perlu dirawat bukannya dikecam.

Pakar psikologi atau doktor lebih mengetahui tahap keadaan individu tersebut, dan kebiasaannya rawatan awal yang diberikan hanyalah nasihat serta cara untuk menangani masalah atau tekanan yang dihadapi.

Jangan segan untuk keluar dan mencari pertolongan professional kerana itulah yang sebaiknya daripada anda melakukan sesuatu yang merugikan diri sendiri kelak!

5. Sokongan Moral Keluarga dan Masyarakat

Berilah perhatian dan sokongan moral yang tinggi kepada setiap individu yang rapat dengan kita. Kita mungkin tidak sedar akan keadaan dalaman mereka yang bermasalah, namun pencegahan awal boleh dilakukan melalui individu yang paling hampir iaitu ahli keluarga itu sendiri.

Wujudkan persekitaran yang harmoni dalam keluarga, berkomunikasi dengan cara yang betul serta didiklah anak-anak dengan didikan agama yang lengkap bagi menjadi benteng dalam diri mereka.

Dekatilah mereka dan wujudkan hubungan yang erat bagi membolehkan mereka lebih berasa kuat ketika menghadapi sebarang masalah atau tekanan dalam hidup.

Hulurkan bantuan dan sebarkan kasih sayang sesama kita sebelumnya ianya terlambat!

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh