Cara Menabung Untuk Pergi Umrah

Setiap muslim pasti mengimpikan untuk menjadi tetamu Allah ke tanah suci. Ibadah Umrah merupakan salah satu ibadah yang dituntut dalam Islam selain dari ibadah Haji yang menjadi kewajipan setiap muslim untuk menunaikannya. Ramai yang mengerjakan ibadah umrah sebagai permulaan kemudian diikuti dengan ibadah haji. Sebelum menunaikan ibadah, pastikan kita melakukan persiapan dari sudut spiritual, mental, fizikal dan kewangan.

Dari segi spiritual misalnya pastikan kita terlebih dahulu membersihkan jiwa dengan memperbanyakkan melakukan solat sunat taubat sebelum pergi untuk menghadap Allah manakala dari segi kewangan pula adalah penting untuk merancang bajet dengan melaksanakan amalan menabung. Apalah ertinya jika kita sudah mempunyai azam untuk menunaikan umrah namun tidak melakukan pelan tindakan yang betul maka ia hanyalah ibarat “mencurahkan air ke daun keladi”. Oleh itu ayuh kita bulatkan tekad dengan merancang kewangan dengan sebaik-baiknya agar impian kita untuk menunaikan umrah terlaksana.

Niat

Pertama sekali hendaklah kita memasang niat yang baik. Apabila kita sudah mempunyai niat disusuli dengan doa yang bersungguh-sungguh untuk mengerjakan ibadat umrah pasti Allah akan mempermudahkan urusan kita dan memakbulkan doa kita untuk ke tanah suci. Ingat suatu tindakan tanpa niat kerana Allah adalah sia-sia.

Target

Sebelum melakukan apa-apa perkara pastikan kita tetapkan target terlebih dahulu. Apabila kita sudah mempunyai target, mudah untuk kita fokus pada tindakan seterusnya. Ada sesetengah orang, mereka mempunyai target tetapi tidak fokus sudah pasti anak panah tersasar. Justeru, tetapkan bilakah masa yang terbaik untuk anda pergi mengerjakan umrah. Pastikan anda menetapkannya secara spesifik sebagai contoh bulan Disember 2020. Anda perlu melakukan research sekurang-kurangnya setahun sebelum merancang untuk menunaikan umrah sebagai contoh memilih agensi yang bersesuaian dan bersedia dengan ilmu pengetahuan.

Menyimpan menggunakan satu bank akaun

Pertama anda perlu tetapkan bajet yang mampu disediakan untuk mengikuti pakej umrah. Terdapat banyak pakej yang ditawarkan oleh agensi bergantung pada kemampuan masing-masing bermula dengan harga serendah RM6500 hingga belasan ribu. Bajetkan paling kurang RM7000 untuk dapatkan pakej umrah yang selesa. Untuk dapatkan RM7000 dalam jangka masa setahun, sehari anda perlu menyimpan RM19.20 sen atau sebulan RM583.00. Pastikan anda konsisten menyimpan RM583.00 di bank pada setiap bulan di akaun simpanan dan bukannya mencampurkan dengan akaun duit gaji dan perbelanjaan lain. Dengan menyimpan di akaun simpanan, anda tidak akan sewenang-wenangnya berbelanja selain dapat melihat aliran wang dengan lebih jelas.

Wujudkan tabung warna

Menurut Pakar Kewangan, tabung warna merupakan kaedah yang paling menarik, mudah dan untung. Cara ini adalah sesuai untuk golongan yang mempunyai disiplin tinggi dan ingin menyimpan secara tetap. Kebiasaannya konsep menggunakan tabung warna ini adalah dengan memilih untuk menyimpan menggunakan satu warna sahaja iaitu sama ada RM5, RM10 atau RM20. Bagi tujuan mengerjakan Umrah, anda boleh mencuba untuk menyimpan RM20 yang dipanggil sebagai Si Oren. Justeru, setiap kali mempunyai cash RM20 anda dikehendaki memasukkan ke dalam tabung dan anda tidak dibenarkan berbelanja dengan duit RM20 tersebut. Pastikan tabung tersebut tidak boleh dibuka ya. Apabila sampai ke penghujung tahun barulah boleh melihat hasilnya. Ramai yang menyatakan kaedah ini sangat membantu untuk menabung.

Menyimpan duit di unit trust

Unit Trust ialah simpanan jangka sederhana ke panjang. Biasanya matlamat yang ditetapkan bagi simpanan jenis ini ialah untuk persaraan, pendidikan anak, Haji/Umrah, beli rumah atau berkahwin. Biasanya anda boleh memilih untuk melabur dalam jangka masa 3 tahun ke 5 tahun malah ada hingga 10 tahun. Jika anda ingin mengerjakan umrah, anda boleh memilih untuk melabur dalam jangka 3 tahun di unit trust. Kaedah pelaburan dalam unit trust ada tiga iaitu:

  • Pelaburan secara lump sum
  • Pelaburan secara simpanan tetap bulanan
  • Pelaburan melalui Skim Pelaburan Ahli KWSP

Untuk menunaikan umrah, kaedah pelaburan secara simpanan bulanan adalah yang terbaik dan paling ideal. Anda boleh memilih untuk menyimpan sejumlah wang di unit trust pada setiap bulan. Konsepnya sama seperti anda menyimpan pada setiap bulan di Tabung Haji ataupun ASB yang mana kita akan mendapat keuntungan secara dividen tetapi ia dipanggil dengan panggilan unit. Namun begitu harga unit setiap bulan adalah berubah-ubah tetapi anda tidak perlu risau dengan turun naik harga unit amanah, kerana kos belian akan dipuratakan sepanjang anda melabur. Ini adalah teknik yang dipanggil pemurataan kos-ringgit (ringgit-cost averaging). Anda boleh memilih untuk menyimpan di unit trust mengikut kemampuan masing-masing sebagai contoh RM200 sebulan. Cara ini lebih menguntungkan berbanding jika kita menyimpan secara biasa. Untuk melihat gambaran ini dengan lebih jelas sila tonton video youtube tentang teknik pengiraan keuntungan di unit trust. Pastikan anda tahu cara untuk mengira pelaburan anda agar tidak mendatangkan kekeliruan di kemudian hari.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh