Bagaimana Mempertingkat Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Kalangan Masyarakat  

Pada suatu ketika dahulu, bahasa Melayu dikenali sebagai bahasa Lingua-Franca. Ia digunakan sebagai medium perantaraan secara sistematik untuk tujuan perhubungan antara orang-orang yang tidak sama bahasa ibundanya di seluruh ceruk pelosok rantau termasuklah para pedagang asing yang berdagang di Tanah Melayu. Bahasa Melayu pada suatu ketika dahulu diangkat menjadi bahasa yang penting dalam pelbagai sistem seperti sistem pentadbiran, perundingan, perniagaaan, kesusasteraan, persuratan dan perhubungan.

Namun senario pada hari ini menyaksikan martabat Bahasa Melayu semakin dipinggirkan dengan kehadiran bahasa slanga. Masyarakat pada hari ini lebih cenderung menggunakan bahasa slanga dalam percakapan seharian berbanding menggunakan Bahasa Melayu yang formal.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi ke-4, slanga adalah kata-kata ungkapan dan sebagainya yang tidak tergolong dalam bahasa baku dan biasa digunakan dalam percakapan tidak rasmi. Terdapat banyak faktor mengapa terjadinya penggunaan bahasa slanga ini. Jika kita lihat trend pada masa kini, penggunaan bahasa slanga semakin menjadi-jadi apatah lagi sejak wujudnya laman sosial sebagai alat komunikasi utama masyarakat pada hari ini.

Penggunaan bahasa slanga boleh dilihat dimana-mana terutamanya dalam kalangan remaja semasa di sekolah. Antara contoh penggunaan ayat bahasa slanga yang sering diguna pakai oleh remaja pada masa kini seperti ‘kau nak gi mana derr’, ‘kita tibai jelah’, ‘eh sengal lah kau ni’, ‘alah poyo je mamat ni’. Penggunaan bahasa slanga bukan hanya merosakkan bahasa malah memperlihatkan kurangnya etika bertutur dalam diri seseorang.  

Bukan itu sahaja, isu penggunaan bahasa slanga ini akan melemahkan tahap penguasaan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam kalangan pelajar amnya. Ramai guru pada hari ini mengadu ramai murid tidak mampu mencapai markah yang cemerlang dalam Subjek Bahasa Melayu meskipun pelajar itu berbangsa Melayu. Oleh itu, langkah yang wajar dan inklusif perlu diterapkan untuk menghidupkan kembali penggunaan bahasa Ibunda yang betul dalam kalangan masyarakat.

Tingkatkan pembacaan dan daya pendengaran

 Antara salah satu cara untuk meningkatkan kemahiran berbahasa adalah dengan banyak membaca. Terdapat pelbagai buku yang dijual di pasaran dan pastikan anda bijak memilih buku-buku yang berkualiti seperti buku motivasi atau buku cerita yang bermanfaat. Dengan amalan membaca, kita bukan hanya dapat menambahkan ilmu pengetahuan, malah kita juga dapat belajar tatabahasa yang betul dan menambah kosa kata yang baru.

Selain itu, galakkan diri untuk sentiasa membaca berita di media cetak seperti surat khabar atau media elektronik seperti menonton berita. Dengan cara ini, anda akan dapati penggunaan Bahasa Melayu dapat dipertingkatkan. Pada masa kini ramai masyarakat yang gemar membaca berita di internet.

Tidak salah jika suka membaca berita di internet namun lebih baik jika dapat terapkan amalan membaca akhbar cetak seperti surat khabar. Kualiti membaca bahan bacaan di skrin tidak sama dengan nilai bacaan yang boleh disentuh dan dipegang kerana kita menggunakan kesemua deria pancaindera yang dihubungkan melalui saraf dan pastinya ia memberi banyak manfaat kepada pembentukan sel sel otak.  

Perlunya ilmu untuk menyedari kepentingan Bahasa Melayu

Andai masyarakat tahu tentang peri pentingnya penggunaan bahasa dengan baik dan betul maka kita tidak akan sewenang-wenangnya meminggirkannya kerana kita tahu bahasa melambangkan identiti bangsa. Pernah kan mendengar slogan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’, namun sejauh mana kita mengamati dan menghayati slogan ini. 

Jika kita benar-benar memahaminya, bahasa yang ditutur sangat berkait rapat dengan apa yang ada dalam hati kita kerana apa yang dizahirkan dari dalam akan diterjemahkan melalui ucapan yang menjadi alat komunikasi antara seorang manusia dengan manusia yang lain. Bayangkan jika buruk apa yang disuarakan bererti ia mencerminkan tahap kejernihan hati dan imej sesuatu kaum itu sendiri.

Masyarakat Melayu terkenal dengan kesopanan dan adab ketimurannya. Alangkah bagusnya jika kita dapat menyemai semangat cintakan bahasa ini dalam diri kita. Masyarakat dunia juga pasti akan tertarik untuk memahami dan belajar Bahasa Melayu kerana ia mempunyai keunikannya yang tersendiri. Tidak mustahil kegemilangan Bahasa Melayu dapat dikembalikan kerana ia sudah wujud sejak lebih tujuh abad lamanya sehingga menjadi faktor penting dalam pembinaan tamadun yang tinggi di Alam Melayu suatu ketika dahulu.

Peranan influencer media sosial

Media sosial merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada corak pemikiran dan kehidupan seseorang pada abad ini terutamanya golongan remaja. Rangkaian media sosial seperti youtube, facebook, instagram, twitter, whatsapp, wechat, blog dan sebagainya sering digunakan bahkan kini meliputi semua golongan usia dan tidak tertumpu kepada golongan remaja sahaja.

Oleh itu, pemilik-pemilik page atau influencer seperti selebriti juga memainkan peranan penting dalam penyampaian risalah berguna kerana mereka antara golongan yang sering menjadi tumpuan masyarakat. Ramai selebriti yang mempunyai jutaan pengikut di laman media sosial malah video yang mereka paparkan di youtube misalnya juga mampu mencecah sehingga jutaan penonton.

Oleh itu, mereka perlu sedar akan impak bukan hanya pada sesuatu isi yang disampaikan malah bahasa yang mereka gunakan juga mampu mempengaruhi jiwa dan minda masyarakat. Mereka harus peka untuk menitikberatkan penggunaan bahasa yang betul terutamanya para youtubers.

Hal ini kerana mereka berinteraksi menggunakan pelbagai deria seperti ekspresi, bahasa badan, intonasi suara dan bahasa. Sudah pasti kesannya amat besar. Jika tidak diurus gaya penyampaian dengan penggunaan bahasa yang betul, tidak mustahil kualiti bahasa akan semakin bercelaru kerana masyarakat sudah menganggap ia sebagai rutin dan sudah sebati dalam komunikasi harian.

Memberi didikan kepada anak-anak

Pembinaan bangsa yang baik bermula dengan pembinaan instituisi kekeluargaan yang baik. Ibu bapa berperanan menerapkan semangat cintakan Bahasa Melayu dalam diri anak-anak. Apabila anak-anak sudah terbiasa menggunakan Bahasa Melayu dengan betul di rumah, mereka tidak akan mempunyai masalah apabila berada di sekolah kelak.

Salah satu cara untuk memupuk kesedaran dalam diri anak-anak adalah dengan menggunakan Bahasa Melayu yang sempurna apabila bertutur. Jangan mencampurkan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu pada satu masa. Pada masa kini ramai ibu bapa yang inginkan anak mereka bertutur dalam Bahasa Inggeris sehingga mengabaikan keutamaan Bahasa Melayu. Ramai kanak-kanak keliru dengan penggunaan bahasa apabila ibu bapa hanya sering mengajar anak-anak untuk menguasai Bahasa Inggeris.

Tidak salah ibu bapa mempunyai cita-cita agar anak fasih menguasai Bahasa Inggeris namun mereka perlu bijak mengajar kedua-dua bahasa agar anak-anak mampu mempelajarinya dengan baik.

Cara yang terbaik adalah mengajar menggunakan kaedah timing-system iaitu cari masa yang strategik untuk membina penguasaan terhadap satu bahasa terlebih dahulu. Sebagai contoh, apabila mengajar anak-anak suatu subjek, cuba gunakan hanya Bahasa Melayu sahaja namun apabila beralih kepada subjek lain, maka ibu bapa boleh beralih kepada bahasa lain seperti Bahasa Inggeris.

Kaedah ini juga berkesan untuk melatih daya fokus anak terhadap suatu-suatu perkara selain mengelak kekeliruan bahasa.  Selain itu ibu bapa perlu berperanan untuk mendidik anak-anak untuk mencintai Bahasa Melayu. Caranya adalah dengan menerapkan kefahaman dan keistimewaan Bahasa Melayu itu sendiri. Sebagai contoh, menerangkan kepada anak-anak tentang sejarah Bahasa Melayu yang pernah dijadikan Lingua-Franca pada zaman keagungan kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-15. Anak-anak kecil juga boleh didedahkan dengan permainan bahasa seperti sahiba atau teka silang kata. Alat permainan sebegini sangat membantu untuk mengasah daya fikir seseorang dan tahap penguasaan Bahasa Melayu.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh