Adab Bercakap Dalam Kumpulan Maya Seperti Whatapp, Telegram

Pada hari ini boleh dikatakan hampir semua menggunakan telefon pintar dan setiap orang pasti mempunyai aplikasi laman sesawang sosial seperti Whatsapp atau Telegram pada telefon bimbit masing-masing. Kehadiran laman sesawang sosial kini yang lebih praktikal memudahkan lagi proses komunikasi seperti perbincangan anggota keluarga, rakan sepejabat, organisasi  dan lain-lain yang bertujuan bagi menyampaikan sesuatu pesanan atau informasi yang penting.

Namun, berapa ramai diantara kita yang benar benar peka dengan adab apabila berhubung terutamanya di kumpulan maya. Perkara ini perlulah dititikberatkan kerana jika kita tidak menguruskannya dengan baik, ia boleh mendatangkan kesan yang negatif di kemudian hari. Pada hari ini banyak kes-kes penceraian rumah tangga terjadi disebabkan oleh faktor tidak menjaga adab yang akhirnya berlaku kes kecurangan yang melibatkan pasangan yang berumah tangga.

Oleh itu, jom kita ambil peduli tentang hal ini. Berikut adalah adab-adab yang perlu dijaga oleh setiap individu apabila menggunakan aplikasi komunikasi maya.

Tidak menyentuh sensitiviti. Fokus kepada tajuk perbincangan

Perlu anda ketahui bahawa terdapat beberapa perkara yang tidak boleh dibincangkan secara terbuka seperti isu perkauman atau isu politik. Mungkin dalam kumpulan yang kita sertai terdapat ahlinya yang terdiri dari pelbagai kaum. Oleh itu elakkan menyentuh isu yang akan menimbulkan rasa tidak puas kepada seseorang.

Begitu juga dengan isu politik, jika anda mempunyai informasi, elakkan berkongsi kerana tidak semua mempunyai kefahaman politik yang sama. Setiap orang mempunyai kecenderungan terhadap politik yang berbeza. Kembali pada matlamat asal sesuatu kumpulan itu ditubuhkan. Elakkan dari bercerita atau berkongsi tajuk yang tiada kaitan.

Pada hari ini ramai orang suka mempromosi perniagaan melalui kumpulan maya. Namun perlu diingatkan untuk mengiklankan pada kumpulan yang dibenarkan. Jangan sesekali mempromosi sebarang produk pada kumpulan yang tiada kaitan semata-mata untuk melariskan jualan. Tindakan sebegini bukan saja tidak beretika malah mengundang rasa kurang senang dalam kalangan ahli kumpulan lain apabila membacanya.

Menggunakan bahasa yang jelas dan mudah faham

Berkomunikasi dalam kumpulan maya bukan tiket untuk menggunakan bahasa santai atau ringkas dengan alasan hendak mudah atau cepat. Perlu anda fahami dan menjaga adab-adab komunikasi apatah lagi jika kumpulan yang disertai melibatkan profesionalisme seperti kumpulan kerja, persatuan, organisasi, sekolah ataupun universiti. Gunalah bahasa dengan ejaan yang lengkap sebolehnya tanpa singkatan. Elakkan menggunakan bahasa yang mempunyai double meaning atau sarcastic. Perlu anda ketahui komunikasi di alam maya tidak melibatkan non-verbal seperti kita tidak boleh melihat bahasa badan, ekspresi, intonasi suara, pergerakan dan sebagainya.

Oleh itu, ketiadaan komunikasi non-verbal ini akan menyukarkan seseorang untuk menilai dan mentafsir andai tidak dijelaskan maksud secara tepat, jelas dan terang maka ia boleh mendatangkan salah faham. Elakkan menggunakan bahasa yang meleret-leret sebaliknya terus kepada maksud yang ingin disampaikan. Ingat, tidak semua orang mempunyai masa untuk membaca mesej anda yang panjang atau ayat yang berbunga-bunga.

Menggunakan emoji yang bersesuaian dengan keadaan dan situasi 

Perkara ni nampak remeh tapi memberi kesan tidak kisahlah golongan yang sudah berumah tangga ataupun bujang. Adalah tidak wajar untuk menggunakan emoji seperti kenyit mata, kiss, jelir lidah sambil kenyit mata, ketawa, gambar love terbang, bunga dan macam-macam lagi di kumpulan maya kononnya untuk mewujudkan suasana. Jagalah etika dan kematangan anda.

Jika nak hantar sekalipun, hantarlah secara personal mesej sebagai contoh kepada pasangan masing-masing, mak ayah, adik beradik, kawan rapat dan bukannya dalam kumpulan maya! Dan kalau beriya nak guna sekalipun, carilah emoji yang bersesuaian dan kena pada situasi dan bukannya yang mengundang perasaan.

Perlu diingatkan dalam kumpulan maya pun kita dikehendaki untuk menjaga ikhtilat kerana terdapat terdapat berlainan jantina berada di kumpulan tersebut. Jauhilah perbualan yang mendatangkan kesangsian dan maksiat seperti percakapan dengan ajnabi dengan menghantar emoji yang mesra. Ingat, permainan syaitan itu licik dan jarumnya sangat halus. Sebelum kita terkena, lebih baik berjaga-jaga. Mungkin pada awalnya berbincang soal kerja namun lama-kelamaan jika hati tidak dikawal meleret kepada perbualan yang tiada kaitan seterunya berlaku kemungkaran.

Menghantar pesanan whatsapp pada waktu yang sesuai

Pastikan anda mengetahui masa yang sesuai untuk menghantar kiriman. Masa yang terbaik adalah pada waktu kerja dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. Elakkan menghantar mesej melebihi waktu kerja jika tiada urusan penting atau hal kecemasan. Jangan sesekali menghantar mesej atau bersembang melebihi pukul 10 malam. Hal ini sangatlah tidak beradab. Kebiasaannya seseorang tidak suka diganggu lebih-lebih lagi apabila melepasi waktu malam.

Anda perlu peka ada masa-masa genting tidak patut menghubungi seperti waktu Maghrib hingga Isyak kerana pada waktu ini seseorang akan sibuk dengan urusan peribadi dan keluarga setelah pulang dari kerja. Sesetengah orang cukup tidak suka apabila masa mereka diganggu apatah lagi yang sudah berkeluarga. Oleh itu, belajarlah untuk menghormati masa orang.

Tidak menyebarkan mesej yang tidak jelas atau sumber yang tidak sahih

 Sebelum menyebarkan mana-mana berita yang anda terima, pastikan disemak terlebih dahulu agar terbukti kesahihannya. Berdosa besar andai kita menyebarkan suatu mesej sekiranya ianya tidak benar kerana ia boleh dikategorikan sebagai fitnah. Pada masa kini ramai pihak yang mengambil kesempatan menyebarkan berita palsu kepada orang ramai demi kepentingan sendiri seperti untuk meraih rating tinggi atau perhatian.

Andai kita termasuk dalam kelompok yang tidak menggunakan ‘filter’ akal yang diberi Allah untuk benar-benar mengkaji dan meneliti sesuatu maklumat sebelum disebarkan, jadi apa bezanya kita dengan golongan yang fasik kan. Perkara ini telahpun dijelaskan dalam Al-Quran Surah Al-Hujarat ayat yang ke 6, “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah untuk menentukan kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu mengenainya sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Jangan berkongsi kisah peribadi dalam ruangan sembang

Jangan sesekali membuka aib sendiri dengan berkongsi masalah peribadi kepada umum. Allah telahpun menutup aib kita jadi kenapa kita perlu buka dengan menceritakannya kepada khalayak. Sekiranya kita berdepan dengan konflik rumah tangga misalnya carilah individu atau organisasi yang tepat seperti menghadiri sesi kaunseling keluarga di LPPKN atau pejabat agama untuk berbincang mengenai masalah.

Sekarang banyak pertubuhan yang menawarkan khidmat kaunseling atau terapi psikologi malah ada yang percuma bagi membantu individu atau keluarga yang dilanda masalah seperti menghadapi tekanan emosi, penganiayaan domestik, penderaan fizikal dan sebagainya. Selain itu, elakkan juga mengemaskini status peribadi yang mungkin akan mengundang tanggapan negatif orang kepada anda. Kadangkala apabila emosi kita berada dalam keadaan bercelaru, mudah untuk meluah masalah kepada umum kerana akal tidak dapat berfikir dengan stabil. Oleh itu, janganlah mudah ditenggelami oleh permainan emosi. Guna akal dengan bijak!

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh