3 Cara Melatih Anak Supaya Fokus

Tahukah anda bahawa ibu bapa boleh melatih daya fokus anak-anak melalui pelbagai cara?. Setiap anak mempunyai daya fokus yang berbeza, tidak semua anak sama. Mestilah bermacam ragam dan pelbagai cara sesuai yang  ibu bapa boleh praktikkan dalam mendidik anak-anak mereka.

Jom kita cuba lakukan cara-cara berikut untuk melatih anak kita meningkatkan daya fokus:

  1. Kenal pasti minat dan kecenderungan anak.

       Anak-anak kita sebenarnya dapat meningkatkan daya fokus adalah melalui aktiviti yang mereka gemari dan minat. Cuba kita perhatikan kadang-kadang anak ini terlalu khusyuk melakukan apa yang mereka suka sampai dipanggil namanya berkali-kali pun masih tidak disahut. Terutama apabila mereka sedang bermain. Antara cara mudah ibu bapa nak lihat perkembangan anak-anak apabila mereka sedang bermain, waktu itu sebenarnya anak-anak sedang aktif menggunakan semua deria mereka. Daripada aktiviti yang mereka lakukan ini dapat menambahkan daya fokus serta mampu membina pelbagai kecenderungan anak-anak.

     Namun begitu, ibu bapa akan menghadapi anak-anak yang mudah hilang fokus pada awal proses mengenalpasti minat atau kecenderungan mereka, ini antara cabaran yang kita bakal hadapi. Ibu bapa jangan risau dan jangan takut untuk sentiasa mencuba mengenali tahap fokus anak-anak. Jika kita mampu membina daya fokus anak-anak ketika usia setahun jagung lagi, pasti anak tersebut akan menjadi anak yang pintar dan mudah menerima pelajaran, lantaran sel-sel otak sudah berhubung sejak awal tumbesarannya.

     2.  Memilih aktiviti yang sesuai

        Ibu bapa perlu bijak memilih aktiviti yang sesuai untuk anak-anak, kerana jika kita terhadkan sesuatu aktiviti tertentu sahaja, mereka akan cepat bosan. Oleh itu, kita mestilah mempelbagaikan aktiviti dan permainan untuk mereka. Kanak-kanak seusia 1 – 7 tahun memang gemar bermain. Mereka akan mudah aktif bila diajak bermain. Melalui aktiviti dan permainan ini, akan dapat membina kemahiran kognitif,motor halus dan motor kasar mereka. Sel-sel dalam minda mereka akan berfungsi dengan baik sesuai dengan perkembangan mereka yang normal.

Kita boleh memilih permainan atau aktiviti yang mudah untuk anak-anak cepat dapat ikut melakukannya, sebagai contoh dengan permainan memasukkan blok mengikut bentuk. Pada awalnya ibu bapa perlu diingatkan bahawa kita hanyalah sekadar pembantu mereka, bukan kita yang menyelesaikan aktiviti mereka ya, kita sekadar menunjukkan semata, biarkan anak-anak yang melakukan supaya mereka mampu membina keyakinan dalam diri mereka. Disamping itu, apabila anak telah berjaya menyelesaikan permainan tersebut ibu bapa boleh mengambil kesempatan ini untuk murahkan pujian atau kata-kata semangat untuk mereka seperti “bagusnya”, “ Wah ,, pandainya abang” atau berikan galakan buat mereka untuk mencuba lagi tanpa bantuan kita pula.Sebagai tambahan, aktiviti mendidik untuk melakukan ibadah praktikal solat dan mengaji juga antara perkara yang sangat membantu membina daya fokus anak-anak.

Ibu bapa dinasihatkan agar sentiasa memberikan perhatian sepenuhnya semasa bermain dengan anak-anak, hal ini kerana terdapat ibu bapa pada zaman kini yang gemar sibuk bermedia sosial sambil melayan anak-anak bermain. Cara sebegini tidak betul sebenarnya. Ia akan menganggu proses membina daya fokus anak-anak. Anak-anak akan kurang diberi perhatian dan membantutkan proses perkembangan minda mereka. Jika perasan pada hari ini kebanyakan kanak-kanak tertarik untuk gemar menggunakan media elektronik atau gadget kerana kebiasaan ibu bapa yang juga gemar menggunakan gadget depan anak-anak. Anak-anak semasa dalam usia bawah 7 tahun terutama akan mudah bertindak mengikut apa yang dilihat di sekeliling mereka. Maka, kita mestilah berhati-hati dalam menunjukkan tiap perilaku kita dihadapan mereka.

    3. Menyediakan suasana yang kondusif

Ini antara salah satu perkara yang penting buat ibu bapa ambil perhatian. Anak-anak sebenarnya mudah dibentuk melalui keadaan persekitarannya. Keadaan sekelilingnya mampu mempengaruhi perkembangan dalam cara mereka berfikir, bercakap dan sebagainya. Dalam proses membina daya fokus mereka, ibu bapa perlu memastikan bahawa sewaktu itu anak-anak dijauhkan daripada tempat yang terlalu bising terutamanya kerana mereka cepat tangkap perkara yang berkaitan auditori,

Bila dengar terus menarik perhatian mereka untuk melihat dan akan hilang fokus terhadap aktiviti yang kita sedang lakukan bersamanya. Cadangannya, ibu bapa boleh mengamalkan untuk melakukan aktiviti membina daya fokus bersama anak di dalam bilik yang tertutup  ataupun jika berada di ruang tamu hendaklah dipadamkan televisyen dan dijauhkan daripada sebarang bunyi.

Sekian sahaja perkongsian ini, harapnya bermanfaat untuk dipraktikkan oleh para ibu bapa. Semoga kita semua dipermudahkan dalam proses mendidik diri serta anak-anak yang soleh dan solehah.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh