Ibu

3 Tips Utama Untuk Memilih Calon Isteri

Setiap manusia menginginkan pasangan yang terbaik sebagai pelengkap hidup. Namun, adakah kita sudah menjadi terbaik untuk dapatkan yang terbaik? Seharusnya untuk mendapat pasangan yang baik perlu dimulakan dengan diri sendiri terlebih dahulu kerana pasangan kita adalah cerminan kepada hidup kita.

Ramai yang kecundang dalam rumahtangga sering menyalahkan pasangan masing-masing sedangkan yang memilih pasangan tersebut adalah mereka sendiri. Di dunia akhir zaman kini bukan mudah untuk mencari insan yang memiliki akhlak dan budi pekerti yang baik tetapi dengan rahmat Allah, dengan doa dan usaha dengan cara yang betul, pasti Allah akan melorongkan jalan untuk menemui teman hidup yang boleh membawa kita jalan menuju ke syurga Allah.

Kita seringkali mendengar hadis Nabi Muhammad s.a.w tentang cara memilih bakal isteri. Sabda Nabi dalam suatu hadis riwayat Bukhari, Wanita itu dinikahi kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Oleh itu pilihlah wanita yang beragama. Berikut disenaraikan tips penting dalam pemilihan calon isteri.

Seorang wanita yang mempunyai ilmu agama

Janganlah memilih pasangan hanya bersandarkan kepada ciri-ciri fizikal seperti kecantikan semata-mata kerana kecantikan akan pudar apabila dimamah usia. Janganlah pula memilih pasangan kerana harta kerana jika Allah kehendaki, Dia boleh menarik nikmat yang diberi pada bila-bila masa sahaja. Pilihlah wanita kerana agamanya pasti hidup akan bahagia.

Masalahnya bagaimana ingin mencari wanita yang baik di akhir zaman ini? Kerana pada masa kini ramai yang runtuh akhlaknya, pincang peribadinya. Ini adalah persoalan yang anda perlu tanya diri sendiri kerana ia berkait rapat dengan masa depan dan keturunan anda.

Wanita yang baik itu sentiasa menundukkan pandangannya. Seorang wanita yang tidak memandang dan tidak dipandang. Bagaimana ingin mencari jodoh jika tidak diberi peluang untuk berkenalan terlebih dahulu. Ada pula yang akan terlintas soalan sebegini.

Ramai yang menjadikan alasan untuk mengenali seseorang itu harus pada berkenalan atau ‘berdating’. Ketahuilah wanita yang benar-benar menjaga diri tidak akan sesekali mudah diajak untuk keluar ‘berdating’ kerana mereka tidak mahu membuka ruang tirai dari dimasuki jarum syaitan yang boleh membawa kepada lembah maksiat.

Pada masa kini, ramai anak muda yang beranggapan mengenali seseorang secara bercouple sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan sedangkan dalam islam tiada istilah bercouple. Menurut Ibnu Qayyum Al-Jauziyah, seorang lelaki yang mengenali seorang wanita hanya kerana ingin bersuka-suka tanpa rasa ingin menikah adalah haram dan perbuatannya itu adalah lebih teruk dari seorang perompak.

Islam mengajarkan kaedah dan syariat yang betul untuk mengenali seseorang yang ingin dijadikan calon isteri. Antaranya adalah dengan sesi taa’ruf atau suai kenal yang ditemani oleh keluarga atau rakan. Jadilah bijak dengan mengenali sikap pasangan sebelum berkahwin.

Wanita yang dididik dengan ilmu agama yang mencukupi tidak mudah menonjolkan diri mereka di khalayak seperti berselfie di facebook atau menghabiskan masa di media sosial seperti tiktok atau menonton drama-drama Korea yang tidak memberi nilai pengajaran yang menjadi kegilaan anak remaja masa kini.

Seorang wanita yang baik lebih banyak menghabiskan masanya mencari dan mendalami ilmu agama. Dia sentiasa berusaha memperbaiki kualiti ibadah dan akhlaknya dengan sentiasa menghadiri majlis ilmu, membaca buku, atau membantu ibunya menguruskan rumah tangga dan sebagainya. Seseorang yang merasa diri mereka eksklusif tidak suka menjadi tatapan para ajnabi.

Namun ramai beranggapan wanita sebegini pada masa kini bersikap kolot sedangkan merekalah sebenarnya mawar yang berduri. Wanita yang menutup auratnya dengan sempurna, berpakaian longgar dan menutup dada. Seorang wanita yang pandai menjaga maruah diri dan pergaulan iaitu menjaga ikhtilat.

Carilah wanita yang sebegini. Meskipun mereka tidak memiliki raut wajah yang cantik, sekurang-kurangnya akhlaknya yang mempersona mampu membawa kebahagiaan dalam rumah tangga. Pernahkah anda mendengar lirik lagu Raihan tentang wanita solehah. Lagu ini cukup meruntun hati. Alangkah indahnya memperisterikan wanita solehah yang diibaratkan sebagai perhiasan dunia ini.

Oh muslimah
Allah cinta kepadamu
Rasulullah kasih kepadamu

Oh muslimah
Berbahagialah kau telah dilahirkannya dengan mulia

Subhanallah
Tuhan telah berkati wanita yang cukup ilmu
Rendah hati

Oh muslimah
busanamu menutup rapi
auratmu kau lindungi dengan indahnya

Oh muslimah
kau rajin memuji
Islam kau jadikan ikutan sejati

Oh muslimah
memandangmu menyejuk hati
menundukkan nafsu hati yang goyah
Keayuan wanita solehah indah peribadi
Tulus hatinya

Oh muslimah
Kecantikan yang sebenar
Pada tutur kata penuh berhikmah

Mempertahan kehormatan dirimu
dengan pakaian mentaati Allah

Oh muslimah
Kau masuk ke syurga
Solat lima waktu dan berpuasa
Menundukkan pandangan matamu
Mentaati suami yang tercinta

Oh muslimah
Kau rajin mengaji
Islam kau jadikan
Ikutan sejati

Seorang wanita yang bijak menguruskan masalah

Dalam video youtube disampaikan oleh Mufti Menk yang berdurasi selama 14:55 minit, beliau ada menggariskan beberapa panduan dalam memilih calon pasangan. Katanya sebelum berkahwin seseorang harus melihat beberapa kriteria sama ada mereka telah layak untuk mendirikan rumah tangga ataupun tidak berdasarkan ciri-ciri yang diberi.

Antaranya adalah seseorang yang ingin berkahwin seharusnya bukan hanya memikirkan soal kehendak nafsu semata-mata sebaliknya perlu membina kualiti terlebih dahulu. Antara kualiti yang penting dalam pemilihan calon isteri adalah kebijaksaannya dalam menyelesaikan masalah. Apabila berlakunya sesuatu masalah, lihatlah cara bagaimana dia berhadapan dengannya.

Adakah dia mudah melenting atau dapat menghadapinya dengan tenang. Ia dipanggil sebagai pengurusan krisis. Seseorang yang mempunyai kestabilan emosi yang baik mampu menghadapi masalah dengan cara yang betul. Mereka tahu bagaimana mencari solusi dengan wajar tanpa menyakiti hati orang sekeliling.

Beliau berkata, pembinaan karekter sebelum berkahwin adalah sangat penting untuk memastikan perkahwinan yang dibina tidak menimbulkan masalah di kemudian hari. Wanita yang baik itu adalah seorang wanita yang matang dalam membuat keputusan tanpa melibatkan emosi yang berlebihan seperti mudah menyalahkan takdir apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini, bercakap kasar atau mementingkan diri sendiri.

Seorang wanita yang menjaga kebersihan, kesihatan dan penampilan

Antara tips yang penting dalam pemilihan calon isteri juga adalah melihat cara dia menjaga kebersihan. Antara cara untuk mengenalpasti seseorang itu pembersih atau tidak adalah dengan mengunjungi rumah dan maka lihatlah tandas di rumahnya. Dari situ anda akan tahu wanita itu seorang yang pembersih atau tidak dengan melihat bagaimana keadaan tandasnya.

Jika bersih, maka wanita itu seorang yang pembersih. Jika kotor, maka anda dinasihatkan untuk mengelak dari wanita sebegini kerana kemungkinan besar dia akan membawa sikap pengotornya apabila berumah tangga kelak. Selain itu, antara cara yang paling terbaik untuk mengetahui sikap seseorang adalah dengan melihat kukunya.

Jika ianya kotor dan kehitaman maka anda boleh membaca bagaimana personalitinya bukan? Elakkan berkahwin dengan wanita yang menyimpan kuku yang panjang walaupun kukunya itu bersih sekalipun kerana kebiasaannya wanita sebegini tidak menjaga keutamaan-keutamaan penting seperti solatnya.

Bayangkan kalau kuku panjang menjela seperti langsuir bagaimana dia menjaga kesucian semasa berwuduk? Yakinkan bahawa air betul betul mengalir dalam kuku yang panjang itu? Penampilan pula berkait rapat dengan kebersihan. Menjaga penampilan tidak beerti perlu memakai pakaian atau barangan yang mahal seperti baju atau beg berjenama. Kerana nilai luaran sebegini tidak membantu pun untuk menaikkan harga nilai diri seseorang tetapi yang penting adalah memastikan pakaian sentiasa bersih dan kemas.

Selain itu, pastikan juga tahap kesihatannya baik. Kesihatan di sini termasuklah kesihatan mental dan fizikal. Tidak salah untuk berkahwin dengan wanita yang mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit kronik namun anda kena bersedia menerima keterbatasannya dalam menguruskan rumah tangga.

Ingat, tujuan anda berkahwin bukannya untuk mencari seseorang yang boleh menguruskan serba serbi kerja rumah kerana kerja rumah itu seharusnya dilakukan bersama. Jika itulah ciri utama yang anda mahukan, beerti anda sedang mencari pembantu rumah bukannya isteri! Konsep perkahwinan yang sebenar adalah untuk mendapat  mawaddah, rahmat dan sakinah.

Tahukah anda penyakit mental kedua tertinggi di Malaysia pada tahun ini iaitu tahun 2020 setelah penyakit jantung adalah penyakit depresi? Penyakit kemurungan dikatakan menjadi penyakit utama yang dihadapi oleh rakyat Malaysia pada tahun ini.

Oleh itu, pastikan anda tahu tahap kestabilan emosi dan mental bakal pasangan anda sebelum berkahwin. Andai kata anda mengetahui mereka mempunyai kecelaruan pemikiran seperti anxiety, bipolar disorder, atau ada yang lebih kritikal seperti skrizofrenia yang semakin ramai dihadapi masyarakat kini maka anda perlu bersedia untuk membantunya dari sudut sokongan emosi kerana individu yang mempunyai masalah mental sebegini sentiasa memerlukan sokongan keluarga dan pasangan.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh