Teknik Bersukan Dalam Islam

Teknik bersukan dalam Islam. Islam adalah satu agama yang mementingkan keseimbangan pada seluruh aspek kehidupan dan bukan hanya memberi penekanan pada pengabdian diri kepada Allah dan ibadah semata-mata hal ini termasuklah aspek penjagaan kesihatan.

Menurut Hadis Riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda: “Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding dari orang beriman yang lemah.” 

Justeru, adalah penting bagi setiap umat islam untuk menjaga amanah yang diberikan oleh Allah SWT iaitu menjaga kesihatan tubuh badan dengan sentiasa melakukan aktiviti seperti riadah atau sukan bagi melahirkan masyarat yang cergas tubuh badannya dan cerdas akal fikirannya. Dengan memiliki tubuh badan yang sihat dan kuat akan memudahkan seseorang itu mengerjakan suruhan Allah SWT seperti dapat beribadah dengan mudah dan khusyuk seterusnya dapat melaksanakan pekerjaan seharian dengan berkualiti.

Hal ini sekaligus menyumbang kepada pembangunan sahsiah dan melahirkan masyarat yang progresif, berdaya saing, teguh jati diri dan intelektual apabila kesejahteraan kesihatan mental dan fizikal dijaga dengan baik.

Dalam hadis juga banyak menceritakan kebaikan bersukan seperti sukan yang popular pada zaman Rasulullah SAW adalah sukan memanah, menunggang kuda serta berenang kerana ia mempunyai banyak manfaat yang tersendiri.

Sabda Rasulullah SAW, “Lemparkanlah (lepaskanlah anak panah) dan tunggangilah kuda.”(Hadis Riwayat Muslim). Dalam hadis lain pula Rasulullah saw menyebut, “Ajarilah anak-anak kamu berkuda, berenang dan memanah”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Pada hari ini aktiviti sukan bukan hanya dilakukan untuk memenuhi masa lapang sahaja malah kebanyakan sukan yang dianjurkan kini sebagai satu cara untuk memupuk semangat kerjasama berpasukan, muhibah, perpaduan khususnya demi mengeratkan hubungan silatulrahim. Aktiviti sukan juga turut diraikan hingga ke peringkat kebangsaan dan global seperti sukan Sukma, sukan Komanwel, sukan Sea dan Sukan Olimpik.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab setiap umat Islam menjadi duta kecil dengan mempamerkan akhlak dan keperibadian baik agar sukan yang disertai mampu menjadi medium dakwah dengan menjadikan Islam sebagai agama yang patut dicontohi. Justeru, Islam telah menggariskan beberapa panduan untuk memastikan aktiviti sukan yang diceburi menepati syarak.

Objektif sukan diadakan

Aktiviti sukan yang diadakan perlukan mempunyai matlamat yang jelas dan bebas dari unsur-unsur yang mengelirukan seperti melibatkan perjudian, pelaburan wang haram dan sebagainya. Objektif sukan yang sebenar adalah untuk memberi kesejahteraan dan semangat kepada individu yang terlibat sama ada dari aspek mental, fizikal dan spiritual. Apabila seseorang individu menyertai aktiviti sukan yang melibatkan pertandingan, mereka hendaklah memasang niat untuk meraih redha Allah dengan berusaha untuk menaikkan martabat Islam di pentas yang lebih tinggi.

Selain itu, sukan yang diadakan hendaklah bebas dari perkara yang melalaikan seperti disertai iringan muzik rancak, mempamerkan model yang tidak menutup aurat, atau disediakan juadah yang tidak jelas sumbernya atau haram. Sebagai contoh, meraikan kemenangan dengan arak yang sudah tentu dilarang sama sekali dalam Islam. Acara yang dilaksanakan juga hendaklah bebas dari perkara yang bersifat provokasi yang boleh menimbulkan sikap prejudis dan permusuhan.

Semangat untuk menjuarai acara sukan memang wajar diterapkan tetapi janganlah menggunakan kaedah yang bercanggah dan terlarang untuk meningkatkan tahap kecekapan seperti pengambilan ubat-ubatan berbahaya seperti dadah, steroid dan sebagainya seperti yang sering dilaporkan dalam kalangan atlet sejak akhir-akhir ini. Pada tahun 1967, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa telah bersetuju untuk mengharamkan penggunaan sesetengah bahan atau kaedah yang boleh meningkatkan tahap keupayaan atlet malah dalam Islam sendiri menegah perbuatan sedemikian.

Tempat dan masa sukan diadakan

Pihak penganjur haruslah peka dengan kekesuaian masa dan tempat sukan yang diadakan. Masa yang dilakukan seharusnya bukan pada masa-masa genting seperti selepas Asar menuju ke Maghrib. Hal ini bagi memudahkan ahli sukan dan orang ramai tidak mengabaikan keperluan solat fardu. Dari segi tempat pula, Seharusnya tidak berlaku percampuran bebas antara lelaki dan wanita. Acara tempat sukan perlu mengasingkan antara peserta lelaki dan wanita. Jika kemudahan tidak tidak disediakan, maka mereka perlu menyediakan jadual pembahagian masa antara lelaki dan wanita.

Menjaga adab semasa sukan

Islam sangat mementingkan adab dalam setiap perkara. Oleh itu, menjadi keutamaan kita untuk menjaga adab termasuklah adab ketika bersukan. Sudah menjadi lumrah pertandingan, pasti ada pihak yang menang dan pihak yang kalah. Pihak yang menang tidak seharusnya menjadikan kemenangan sebagai sesuatu untuk dibangga-banggakan sehingga menyakiti hati pihak lawan. Begitu juga dengan pihak yang kalah perlu menerima dengan hati yang terbuka tanpa mencerca atau mengherdik pihak lawan atau dengan melemparkan kata-kata yang berbau kesat atau makian. Perkara ini sering berlaku kepada peminat yang menyaksikan atau menonton pertandingan. Elakkan menggunakan emosi yang berlebihan sehingga melakukan perkara yang bertentangan dengan prinsip Islam seperti melakukan kekerasan, peras ugut dan sebagainya sehingga mendatangkan kecederaan pada orang lain.

Selain itu, masyarakat haruslah berusaha untuk menjaga kebersihan semasa bersukan. Jangan lah membuang sampah di merata tempat sedangkan tong sampah banyak disediakan. Contohilah negara luar seperti Singapura yang boleh dikatakan hampir tiada sampah di negara mereka. Hal ini kerana rakyat di negara berkenaan telah dididik untuk menjaga kebersihan. Jika sesiapa didapati membuang sampah, mereka akan didenda dengan kompaun yang sangat tinggi. Cara sebegini mampu mendisiplinkan masyarakat sekaligus menjadikan negara bersih dari pemandangan kotor. Selain itu, pengadil yang dipilih mestilah terbukti amanah dan integritinya agar tidak berlaku kes-kes seperti berat sebelah, penipuan dan sebagainya.

Menjaga aurat semasa sukan

Perkara asas yang perlu dititikberatkan oleh ahli sukan adalah mengenai auratnya. Bukan hanya wanita sahaja yang perlu menjaga aurat malah lelaki juga perlu menjaga aurat. Umum mengetahui bahawa aurat wanita Islam adalah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan manakala aurat lelaki Islam adalah antara pusat hingga ke lutut namun kebanyakan sukan seperti bolasepak menyediakan uniform seluar pendek tidak melepasi paras lutut. Oleh itu, ambillah inisiatif seperti memakai stoking yang panjang. Sekurang-kurangnya aurat tidak terdedah dengan begitu sahaja.

Pakaian yang harus dipakai oleh ahli sukan wanita pula adalah seperti T-shirt lengan panjang, berseluar panjang dan menutup rambut serta leher lebih lebih lagi apabila melibatkan sukan seperti gimnastik, sukan renang atau bina badan. Pakaiannya juga mestilah longgar dan tidak menampakkan susuk badan. Isu seperti pakaian sukan wanita yang sukar didapati harus diketepikan kerana kini banyak peniaga telah mengeluarkan pakaian sukan wanita yang menepati syariah.

Pada tahun lalu, Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pucuk pimpinan PAS telah menyuarakan hasrat untuk melaksanakan konsep pemakaian patuh syariah bagi atlet beragama Islam di negeri itu selaras dasar kerajaan negeri yang meletakkan Islam sebagai tunggak pentadbiran. Usaha ini haruslah dipuji dan dicontohi oleh semua pihak. Susulan itu, beberapa persatuan telah mengambil langkah yang sama seperti Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang mewajibkan semua pemain lelaki dan wanita memakai pakaian menutup aurat ketika beraksi dalam semua kejohanan bermula bulan April yang lalu.

Kini pemakaian hijab dalam kalangan atlet wanita diperingkat dunia semakin mendapat tempat. Hal ini boleh dilihat seperti Ibtihaj Muhammad yang merupakan atlet lawan pedang Amerika pertama yang memakai hijab di sukan Olimpik di Rio pada tahun 2016, Zehra Lari merupakan peluncur ais dari Emeriah Arab Bersatu, Amna Al-Hadad seorang atlet angkat berat juga dari UAE dan ramai lagi atlet wanita yang semakin ramai berhijab semasa melakukan acara sukan.

Oleh itu, sudah tiba masanya pihak berwajib mengubah mentaliti dengan tidak memberikan alasan mengatakan pakaian menutup aurat menyusahkan, memberi kesukaran untuk bergerak, menyebabkan tidak selesa seperti panas dan sebagainya sebaliknya mempertahankan syariat yang telah digariskan dalam Islam kerana hukum Allah itu pasti mengandungi hikmah dan tidak mudah dipengaruhi oleh ideologi barat yang sentiasa mencari jalan untuk meruntuhkan kredibiliti umat Islam dengan pelbagai cara.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh