Makanan Untuk Kulit Cantik Dan Sihat

Kulit yang sihat dan bebas dari sebarang jerawat dan kekotoran sememangnya menjadi idaman setiap orang baik wanita atau lelaki. Peningkatan teknologi dari sudut penjagaan kulit atau kosmetik pada hari ini sedikit sebanyak dapat membantu kita dalam memastikan kulit sentiasa terjaga. Namun, tidak semua yang mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk menampung kos perbelanjaan rawatan yang agak tinggi.

Sebenarnya penjagaan kulit bukanlah bergantung semata-mata dengan penggunaan produk kosmetik, cara pemakanan yang betul dan seimbang juga mampu membantu mengekalkan kulit yang sihat dan cantik.

Menurut kajian para dermatologist atau pakar kulit, terdapat berpuluh-puluh sumber makanan yang mampu menyimbangkan kesihatan kulit wajah kita, namun di sini disenaraikan 5 jenis makanan yang mudah didapati serta mempunyai khasiat yang tinggi untuk kulit kita.

1. Tomato

Tomato merupakan kumpulan buah yang biasa kita temui di pasar raya serta banyak dijadikan bahan utama dalam masakan harian. Tapi tahukah anda bahawa tomato merupakan salah satu bahan utama yang digunakan secara meluas dalam bidang kecantikan khususnya bagi rawatan wajah.

Buah tomato merah  yang kaya dengan vitamin A dan C juga mengandungi likopena iaitu antioksidan yang berfungsi untuk melawan radikal bebas seperti asap kenderaan, rokok dan juga bahan-bahan asing berbahaya yang masuk ke dalam tubuh. Likopena dan beta keratin yang terdapat pada buah tomato juga membantu bagi mencegah kulit daripada rosak serta berfungsi untuk menghalang kedutan di wajah.

Disebabkan kandungan likopena yang tinggi, buah tomato merupakan antara bahan makanan yang paling bagus dalam perawatan kulit wajah!

2. Brokoli

Brokoli merupakan sayuran yang penuh dengan vitamin dan mineral yang baik untuk kesihatan kulit. Ini termasuklah zink, vitamin A dan Vitamin C.

Brokoli mengandungi zat glukorafanin yang kemudiaanya berubah menjadi sulforafan yang dapat membantu memulihkan kulit dan sekaligus memperbaharui kulit yang rosak dengan lebih cepat.

Ekstrak yang terdapat di dalam brokoli juaga dapat mencegah kulit daripada sinaran UV sekaligus dapat menghalang daripada risiko penyakit kanser kulit.

Di samping itu juga, brokoli  dapat mengurangkan kadar penuaan kulit serta membantu menjadikan kulit lebih mulus dengan adanya kandungan vitamin C yang tinggi itu.

Jadi, amalkan makan brokoli setiap hari bagi mendapatkan kulit yang cantik dan sihat luar dan dalam seperti yang anda idamkan!

3. Kacang Soya

Kacang soya merupakan sumber makanan yang sangat baik untuk kesihatan kerana kandungan protein yang tinggi serta mempunyai serat dan isoflavon. Serat ini dapat membantu mengurangkan kolesterol serta mengurangkan risiko penyakit jantung.

Bagi faedah kulit, kandungan asid amino serta lipid yang terdapat pada kacang soya dapat membantu pertumbuhan sel-sel baru serta menghidratkan kulit agar sentiasa seimbang.

Lipid soya yang tinggi berfungsi sebagai antioksidan yang dapat membantu mencegah radikal bebas pada kulit seperti kekotoran dan tompok-tompok hitam akibat sinaran UV.

Vitamin E juga membantu dalam membaiki tisu-tisu kulit yang rosak dengan lebih cepat sekaligus dapat menyelamatkan kulit serta mengurangkan kadar penuaan kulit.

4. Teh hijau

Antara kandungan yang terdapat dalam teh hijau ialah ianya bersifat antioksidan, vitamin, saponin, theophylline, theobromine yang mempunyai khasiat tersendiri. Antaranya ialah membanu dalam melawan infeksi serta menjaga suhu badan untuk berada dalam keadaan tetap optima.

Bagi kesihatan kulit, teh hijau membantu dalam melambatkan proses penuaan, mencegah kedutan, melindungi kulit dari sinaran UV, mencegah kanser, merawat jerawat, dan sebagainya.

Lingkaran gelap bawah mata atau ‘eye bag’ juga dapat dirawat dengan penggunaan teh hijau kerana sedikit kandungan kafein yang ada pada teh hijau mampu mengecilkan pembuluh darah di bahagian mata anda.

Penggunaan krim yang mengandungi teh hijau juga boleh digunakan untuk menyegarkan wajah serta mengembalikan keremajaan kulit kerana teh hijau mempunyai khasiat untuk memulihkan sel-sel kulit mati dan mempercepatkan pertumbuhan sel-sel yang baru.

5. Coklat gelap

Siapa sangka coklat yang dianggap menggemukkan sebenarnya mempunyai khasiat yang tinggi kepada kulit anda!

Mengikut fakta yang dikongsi oleh Lembaga Koko Malaysia (LKM), koko pada asasnya ialah tumbuhan yang mengandungi karbohidrat, protein dan lemak yang diperlukan. Selain itu juga, koko kaya dengan bahan mineral serta sumber vitamin E dan B kompleks manakala lemaknya mengandungi vitamin A dan E.

Coklat gelap atau dark chocolate merupakan antara koko yang paling baik untuk kesihatan kulit. Kandungan antioksidan yang tinggi di dalam coklat gelap membantu mengurangkan kesan sensitif kepada kulit serta melancarkan pengaliran darah untuk membantu membekalkan nutrisi yang cukup kepada kulit.

Kajian juga mendapati, pengambilan 20 grams coklat gelap yang tinggi anti-oksidan setiap hari mampu mengelakkan keradangan kulit akibat sinaran UV yang tinggi.

Namun, pastikan anda mengambil coklat gelap yang mengandungi sekurang-kurangnya 70% kandungan koko bagi mendapatkan manfaat terbaik koko serta meminimumkan penggunaan gula yang berlebihan.

Kini tiada alasan lagi untuk anda yang mahukan kulit yang cantik dan sihat kerana semua bahan atau sumber yang mampu membekalkan nutrisi yang baik kepada kulit adalah sumber makanan yang paling hampir dengan anda. Ayuh, tepuk dada tanya selera!

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh