Cara Meningkatkan Minat Menulis Kanak-Kanak

Kemahiran menulis adalah antara kemahiran penting yang perlu dipelajari oleh kanak-kanak kebiasaannya bermula pada usia 4 tahun semasa kanak-kanak berada di tadika. Menulis adalah merupakan satu proses yang komplek dan memerlukan masa yang panjang sebelum ia dapat dikuasi oleh seorang kanak-kanak kerana ia melibatkan banyak aspek seperti teknik menggengam pensil, melibatkan postur badan, koordinasi mata, tangan, lengan, jari dan kemahiran psikomotor yang lain.

Tugas membimbing bukan hanya perlu diserahkan kepada guru semata-mata tetapi ibu bapa juga memainkan peranan yang penting untuk mengajar anak-anak minat menulis agar mereka tidak menghadapi masalah untuk mengikuti pembelajaran di dalam kelas kelak.

Cara Meningkatkan Minat Menulis Kanak-Kanak

Cara Meningkatkan Minat Menulis Kanak-Kanak

Memahami nilai literasi

Kemahiran literasi adalah keupayaan seseorang untuk membaca, menulis, dan memahami perkataan dan ayat yang mudah dan kompleks seterusnya mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam pembelajaran dan komunikasi harian. Jika seorang kanak-kanak diasak untuk terus minat menulis tanpa terlebih dulu tanpa memahami nilai literasi, pasti ibu bapa akan berdepan dengan cabaran seperti anak anak menjadi mudah bosan, hilang tumpuan, ataupun yang lebih teruk ingin memberontak.

Kajian menujukkan kanak-kanak yang mempunyai asas kemahiran pertuturan dan bahasa yang baik lebih bersedia untuk menerima pelajaran. Seseorang yang minat membaca akan juga mempunyai kecenderungan untuk menulis. Oleh itu, kemahiran literasi awal adalah sangat kritikal kerana ia juga menentukan pencapaian kanak-kanak dalam pelbagai aspek termasuklah aspek penulisan.

Ibu bapa berperanan untuk membantu anak-anak pada peringkat awal dengan mengajarkan mereka untuk bercerita segala apa yang dirasai, dilalui dan mempersembahkannya dalam pelbagai bentuk seperti ucapan, lakaran, lukisan kerana kanak-kanak kelazimannya mempunyai daya imaginasi yang tinggi. Mereka dapat menghayati sesuatu perkara dengan baik.

Jika anda rajin mengasah bakat anak-anak dengan kaedah ini, ia bukan hanya dapat mendidik mereka untuk berfikir, malah melatih keyakinan, daya kreativiti dan kemahiran bertutur dengan baik. Anak-anak juga lebih mudah mengikuti apa yang dilihat berbanding apa yang didengar.

Oleh itu, tunjukkan kepada anak-anak kepentingan menulis dengan anda mempraktikkannya terlebih dahulu dalam kehidupan seharian contohnya mencatat nota atau nombor telefon, membuat senarai semak kerja, melakar idea dan sebagainya. Pastikan anda menerangkan kepentingannya kepada anak-anak agar mereka dapat memahami seterusnya meransang minat mereka untuk menulis.

 

Galakkan anak-anak membaca

Bagi menanam minat menulis, ibu bapa seharusnya terlebih dahulu menyemai minat membaca pada anak-anak kerana bermula dari minat membaca kanak-kanak itu akan suka menulis. Apabila anak-anak sudah menguasai kemahiran membaca dengan baik, mereka akan lebih teruja untuk menterjemahkannya dalam bentuk penulisan.

Ibu bapa perlu kreatif mencari idea bagaimana menarik minat anak untuk menulis melalui teknik pembacaan. Contohnya, setiap kali anda membacakan buku cerita pada anak-anak, sediakan kertas kosong dan pensil kepadanya. Tanyakan soalan berdasarkan cerita yang dibaca. Wujudkan soalan mudah yang bersesuaian dengan usia mereka bagi meransang daya fikir seperti siapakah, apakah, dimanakah.

Contoh mudah, siapakah watak jahat dalam cerita Buaya dan Sang Kancil? Anak-anak yang peka dengan penceritaan tersebut pasti lebih bersemangat untuk memberikan jawapan. Jangan sesekali marah jika mereka tidak dapat memberi jawapan yang tepat. Sebaliknya pujilah setiap usaha yang dilakukan oleh mereka. Hal ini secara tidak langsung dapat menanam minat mereka untuk menulis.

 

Jangan didik anak bermain gajet. Gantikan dengan aktiviti lain seperti menulis journal

Ibu bapa moden pada hari ini lebih rela memberikan anak-anak bermain gajet untuk mengawal anak dari membuat bising walaupun mereka sedia maklum kesan buruk akibat penggunaan gajet secara tidak terkawal. Tahukah anda bahawa bermain gajet bukan hanya melambatkan kemahiran anak untuk menulis, malah kemahiran motor lain yang penting untuk pembelajaran turut akan terjejas.

Menurut Sally Payne seorang Ketua Pediatrik di NHS Trust’s Heart of England Foundation, antara kesan gajet kepada anak-anak ialah kekuatan dan pergerakan tangan mereka lebih lemah jika dibandingkan dengan kanak-kanak lain pada 10 tahun yang lalu kerana kemahiran asas mereka sudah terbantut. Menurutnya lagi, ramai kanak-kanak pada hari ini tidak dapat memegang pensil dengan betul. Oleh itu, ibubapa seharusnya menukarkan aktiviti bermain gajet kepada aktiviti lain seperti ajarkan anak menyimpan journal.

Latih anak anda untuk menulis apa yang dilaluinya sepanjang hari dalam journal. Sebagai contoh, apa perkara menarik yang telah dilaluinya semasa di sekolah, warna kegemarannya, rancangan kartun kegemarannya, ataupun aktiviti hujung minggu yang menyeronokkan seperti pengalaman pergi ke zoo. Sediakan gambar yang menarik kepada mereka yang berkaitan dengan tajuk journal.

Anda boleh cari banyak gambar yang menarik di pinterest kemudian print. Suruh mereka menampal gambar tersebut pada journal untuk menjadikannya lebih menarik dan tidak membosankan. Aktiviti ini bukan hanya dapat melatih minat mereka untuk menulis malah dapat menajamkan akal fikiran mereka kerana sesuatu peristiwa yang ditulis akan kekal lama pada memori jangka panjang.

 

Pelbagaikan jenis bahan bantu menulis 

Ibu bapa perlu kreatif untuk menjadikan proses menulis sesuatu yang tidak menjemukan. Antaranya adalah pelbagaikan alat-alat seperti pensel, pen, marker, kapur, warna air, crayon, kad manila, kertas pelbagai warna, dan sebagainya. Jika anak anda masih tidak menunjukkan minat menulis meskipun telah dibekalkan dengan pelbagai bahan, boleh cuba mewujudkan ruang menulis untuk mereka seperti sediakan meja dan kerusi kanak-kanak di dalam bilik, hias meja belajar mereka dengan telefon dan kalkulator. Jadikan ruang pembelajaran mereka kelihatan lebih dramatik. Hal ini secara tidak langsung dapat memupuk minat mereka untuk duduk dan menulis apabila mereka lihat banyak alatan menarik yang tersedia di atas meja.

Bermain aktiviti yang menarik

Menulis memerlukan kekuatan otot. Pendedahan gajet kepada kanak-kanak pada hari ini menyebabkan sistem motor mereka menjadi lemah. Justeru, mereka memerlukan banyak latihan fizikal. Berikut adalah beberapa kaedah yang boleh diamalkan oleh ibu bapa untuk melatih kemahiran motor anak-anak terutamanya pergerakan jari, lengan, dan tangan.

Untuk kanak-kanak yang berusia 2 hingga 3 tahun, mereka boleh diajak untuk bermain dengan blok membina bangunan, bermain susun suai gambar yang mudah, bermain pasir (playsand), atau bermain dengan anak patung yang boleh ditukar pakaian manakala untuk kanak-kanak yang berusia 4 hingga 5 tahun, ibu bapa boleh melatih mereka seperti membuat kraf dengan menggunakan gunting dan tangan kemudian lekatkan pada kertas dengan menggunakan gam, memperbanyakkan aktiviti melukis dan mewarna, membutangkan baju, menggunakan penebuk lubang atau membina model menggunakan barang terpakai seperti surat khabar dan sebagainya. Kaedah sebegini juga boleh mengasah kemahiran daya fikir dan intelektual.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh