Sebab Remaja Suka Buang Masa

sebab remaja suka buang masa
sumber google

Remaja adalah aset kepada sesebuah negara. kita ingin bincangkan di sini tentang sebab remaja suka buang masa. Kata Imam Al-Ghazali, jika ingin lihat masa depan sesebuah negara, lihatlah generasi mudanya yang ada sekarang. Seringkali kita dengar remaja selalu dikaitkan dengan masalah dan suka membuang masa untuk perkara yang tidak berfaedah.

Walhal terlalu banyak program kesedaran seperti program motivasi dijalankan terutamanya di sekolah dan universiti namun gejala seperti terlibat dalam dunia percintaan yang akhirnya berlaku penzinaan, melepak, bermain permainan video, menonton video pornografi, membaca bahan picisan, menghabiskan masa menonton wayang di shopping mall dan sebagainya.

Masalah ini haruslah dikaji dari akar umbi agar langkah penyelesaian yang konkrit boleh diambil untuk membendung tabiat remaja agar tidak menular dengan lebih parah. Terdapat banyak faktor mengapa seseorang remaja suka membuang masa.

Berikut adalah antara faktor yang wajar diberi perhatian agar pihak berwajib seperti ibu bapa, guru-guru, golongan pendakwah boleh mengambil pendekatan yang holistik untuk membantu remaja agar menyedari kesilapan ini.

Tidak mempunyai matlamat dan hala tuju hidup yang jelas

Ramai remaja mengabaikan faktor ini sedangkan mereka tahu peri pentingnya untuk mempunyai wawasan hidup yang jelas. Mereka beranggapan memadai pergi ke sekolah atau universiti belajar dan meraih keputusan yang cemerlang sedangkan konsep pembelajaran yang sebenar adalah luas dan mereka perlu berfikiran terkehadapan untuk memikirkan tentang tujuan hidup yang sebenar.

Secara asasnya, bukan mudah untuk menentukan prinsip dan misi hidup sekiranya mereka tidak dilatih dari awal. Perkara ini memerlukan kefahaman kepada ilmu. Mereka perlu tahu banyak cabang ilmu yang perlu dipelajari selain dari menimba ilmu di bilik darjah. Antaranya untuk melengkapkan diri dengan ilmu agama yang mantap, ilmu ekonomi sebagai persediaan menguruskan kewangan apabila tamat belajar, ilmu interaksi sosial agar mereka boleh menjadi pekerja yang berdaya saing, ilmu keusahawanan sebagai satu usaha keboleh pasaran graduan, ilmu kesihatan dan pelbagai lagi jenis ilmu.

Jika mereka sedar hakikat bahawa kehidupan adalah universiti pembelajaran yang sebenar, pasti remaja tidak sewenang-wenangnya menghabiskan masa untuk perkara yang tidak berfaedah.  Masa yang terluang haruslah digunakan dengan sebaik mungkin seperti membaca bahan bacaan yang ilmiah, berdiskusi bersama rakan untuk meningkatkan kemahiran berfikir yang kritis, menyumbang tenaga untuk membantu golongan yang memerlukan seperti menyertai badan-badan sukarelawan, menyertai persatuan atau kelab untuk mengasah bakat kepimpinan dan pelbagai lagi aktiviti yang boleh dilakukan oleh remaja untuk mengasah potensi dan bakat yang ada di dalam diri mereka.

Ibu Bapa mengabaikan tanggungjawab

Mutakhir ini, ramai ibu bapa yang sentiasa sibuk bekerja sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka untuk mendidik anak-anak dengan sebaiknya. Mereka lebih gemar menyerahkan tugasan yang sepatutnya menjadi kewajipan mereka kepada guru-guru.

Ada pula ibu bapa yang memberi keizinan dan galakan kepada anak-anak untuk mereka keluar bersama rakan pada hujung minggu berbanding menggunakan masa tersebut untuk sama-sama melakukan aktiviti yang dapat mengeratkan silatulrahim dengan alasan mereka tidak mahu mengongkong anak-anak yang suka diberi ruang untuk menyendiri tatkala mereka meningkat dewasa. Persepsi sebegini adalah salah kerana ramai di antara remaja yang ingin diberi perhatian oleh keluarga namun mereka tidak melihat adanya kebahagiaan dalam rumah tangga.

Terdapat juga banyak kes dimana ibu bapa sendiri yang leka dan lalai lebih lebih lagi dengan perkembangan teknologi. Banyak masa yang terbuang di alam maya dari melayani karenah anak-anak di rumah. Apabila anak-anak sudah terbiasa dengan keadaan sebegini, mereka tidak merasakan lagi di rumah adalah tempat yang menyeronokkan yang akhirnya mereka lebih rela keluar dari rumah dan lepak bersama rakan-rakan untuk menghilangkan kesunyian, kesedihan dan ketegangan kekeluargaan yang dihadapi.

Pengaruh media sosial

Ini merupakan faktor yang paling utama menjadi penyebab remaja semakin malas. Media sosial boleh mendatangkan kebaikan jika digunakan secara bijak. Ia boleh menjadi medium untuk berdiskusi wadah ilmu secara tidak formal, sebagai platform untuk menyebarkan dan berkongsi dakwah dan menjadi salah satu alternatif untuk belajar kemahiran yang tidak di ajar di sekolah seperti kemahiran komunikasi, kemahiran perniagaan atau pelbagai lagi. Namun realitinya tidak begitu.

Ramai remaja melayari media sosial untuk perkara yang tidak bermanfaat seperti mendengar lagu, menonton tarian idol-idol seperti artis Korea, mengikuti laman yang tidak bersesuaian dengan usia mereka seperti dandan make-up atau fesyen terkini serta mengikuti topik viral yang kebanyakannya berunsur picisan.

Menurut Hootsuite and We Are Social dalam laporan terkini Digital 2019, Malaysia menduduki kelompok kelima tertinggi di dunia dan tempat teratas di Asia Tenggara dalam penembusan media sosial mudah alih. Penembusan Internet di Malaysia kini pada tahap 80 peratus, dengan pengguna membelanjakan purata lapan jam lima minit sehari secara dalam talian, manakala selama 2 jam 59 minit daripada tempoh itu digunakan untuk media sosial.

Perkara ini sewajarnya dipandang sebagai sesuatu yang membimbangkan kerana penggunaan telefon pintar dan media sosial yang tidak terkawal akan memberikan banyak impak yang negatif terutamanya dari sudut tingkah laku dan kesihatan mental. Kesan yang nyata adalah timbulnya sikap malas apabila seseorang itu terlalu leka bermain dengan media sosial. Hal ini akan menjejaskan tumpuan remaja terhadap pelajaran.

Ramai yang suka melakukan kerja secara multi-tasking. Tahukah anda jika melakukan dua atau lebih tugasan dalam satu satu masa seperti mentelaah pelajaran tetapi dalam masa yang sama melakukan perkara yang tiada kaitan seperti melihat media sosial akan menjejaskan tumpuan dan kualiti kerja?

Tabiat ini jika tidak dibendung akan menurunkan kadar produktiviti seseorang. Penyakit malas adalah antara penyakit yang berbahaya. Misi perjuangan umat islam juga akan terbantut andai remaja Islam pincang jati dirinya dan rapuh prinsip hidupnya. Musuh musuh Islam sentiasa mencari jalan untuk menghancurkan muda-mudi Islam melalui pelbagai cara yang kita tidak sedari. Antaranya adalah mereka menyuntik virus demi menjayakan dakyah ‘6S’ iaitu ‘song, sport, sex, screen, smoke dan spirit’.

Maka, kita haruslah bijak menepis godaan sebegini. Janganlah kita menjadi salah satu entiti yang telah menyumbang kepada kejayaan mereka. Justeru, Rasulullah SAW telah lama terlebih dahulu mengajarkan kita dengan satu doa agar untuk menghindari sikap malas dan dicengkam manusia yang berbunyi. “Ya Allah, aku berlindung  kepadamuu dari rundungan sedih dan duka. Aku berlindung dari sifat malas dan lemah. Aku berlindung dari sifat pengecut dan kedekut. Aku berlindung kepadamu dari beban hutang dan penindasan orang.”(HR muslim)

Ayuh, sedarlah wahai pemuda. Anda adalah harapan bangsa. Sumbangan anda melalui ideologi, buah fikiran, tenaga, ilmu dan pelbagai lagi diperlukan oleh masyarakat. Janganlah hanya memikirkan soal keseronokan semata-mata. Ingatlah, kita adalah khalifah dan dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk mentadbir dunia dengan bijaksana.

Setiap di antara kita memainkan peranan untuk memakmurkan dunia. Ingatlah pesan Rasulullah SAW, khairunnas anfauhulinnas. “Dan sebaik-baik manusia adalah manusia yang banyak memberi manfaat. Sahutlah seruan Nabi kita. Janganlah leka dengan permainan tipu daya dunia. Tanggungjawab kita lebih besar.

Lakukan lah sesuatu perkara yang bermanfaat daripada menghabiskan masa untuk perkara yang sia-sia. Kelak, kita semua akan ditanya oleh Allah masa bagaimana kita telah menggunakannya. Andai kita melakukan sesuatu yang bermanfaat ketika hidup di dunia, sekurang-kurangnya kita mempunyai jawapan di hadapan Allah. Allah berfirman dalam Surah Al-Asr yang menyebut mengenai masa.

“Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali  mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kesabaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran”

Saya tinggalkan dengan kata-kata dari Imam Syahid Hassan Al-Banna, “Sesungguhnya aku amat merindui seseoarang pemuda yang tidak tidur lena kerana memikirkan masalah ummah”

Kata-kata dari Imam Syahid Hassan Al-Banna tentang remaja sungguh menyentuh hati. Katanya, “Sesungguhnya aku amat merindui seseorang pemuda yang tidak tidur lena kerana memikirkan masalah ummah” Remaja kita usahkan untuk memikirkan masalah umat, diri mereka pun kadang kala tidak dipimpin dan difikirkan dengan betul. Bangkitlah dari tidur yang lena. Remaja harus belajar untuk menguruskan diri sendiri dengan baik.

Jihad itu tidak semestinya mengangkat pedang untuk lawan musuh di medan perang. Belajar untuk mengawal nafsu agar tidak malas juga satu mujahadah. Bangkit dari tempat selimut melawan rasa mengantuk untuk menunaikan solat dua rakaat juga satu jihad. Hebatnya Allah seseorang itu boleh mencapai taqwa mengikut keupayaan masing-masing.



Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh