PERSEDIAAN SEBELUM BERKAHWIN

Perkahwinan merupakan suatu proses pembentukan keluarga atau rumahtangga. Ia merupakan satu  penyatuan antara  lelaki dan perempuan melalui sebuah ikatan mengikut syariat agama yang menghalalkan pergaulan antara keduanya.

Sudah tentu dalam setiap diri individu itu secara fitrahnya mempunyai keinginan untuk mendirikan rumah tangga dan menjalani kehidupan berkasih sayang sebagai suami isteri. Menjadi lumrah setiap pasangan yang berkahwin mengharapkan kehidupan yang aman dan bahagia serta berkekalan hingga ke syurga.

Menjadi persoalannya adalah adakah kita sudah menyediakan segala kelengkapan yang penting sebelum menjejakkan kaki ke gerbang alam perkahwinan itu?. Bab kahwin salah satu episod penting dalam kisah hidup setiap manusia. Adakah kita mampu melakar sebuah jalan cerita yang indah atau hanya sekadar angan-angan Mat Jenin semata.

Oleh itu peri pentingnya bagi kita untuk melakukan persediaan sebelum menginjak ke   alam  perkahwinan yang benar-benar bahagia di dunia dan akhirat In Sha Allah.

PEMILIHAN JODOH ATAU TEMAN HIDUP.

Antara perkara pertama yang menjadi syarat perkahwinan itu lengkap adalah mempunyai pasangan. Seseorang itu tidak akan sah berkahwin jika tiada pasangannya kerana pemilihan pasangan adalah permulaan sebuah perkahwinan. Kita digalakkan memilih pasangan berdasarkan panduan yang telah ditetapkan oleh Islam. Ia adalah kaedah yang paling terbaik sebagai usaha untuk memastikan sebuah rumahtangga yang mendapat keredhaan Allah dan berkekalan sehingga ke akhirnya.

Berikut merupakan kaedah pemilihan calon isteri dan suami mengikut panduan agama Islam;

Pemilihan calon isteri sebaik-baiknya adalah mengikut ciri-ciri seperti berikut:

  • Agama
  • Keturunan
  • Kecantikan
  • Harta

Seseorang yang memilih calon isteri yang mempunyai kesemua ciri seperti di atas sudah tentu akan dapat menjamin kebahagian. Sekiranya tidak memperoleh semua ciri pilihan ini, maka pilihlah orang yang kuat pegangan agamanya. Hal ini kerana, memilih pasangan yang mempunyai keteguhan agama Islam akan mampu menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat. Sebagaimana dalam sabdaan

Rasulullah SAW yang bermaksud:

“ Dikahwini akan seorang perempuan itu kerana empat perkara: hartanya,keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah dari kalangan mereka yang beragama nescaya kamu akan selamat”. ( Riwayat Al- Bukhari dan Muslim).

Wanita juga berhak memilih bakal suami. Diantara ciri-ciri yang perlu dipilih oleh wanita adalah seperti berikut:

  • Menghayati agama
  • Berakhlak mulia
  • Mempunyai sifat kepimpinan
  • Bersifat sekufu (setaraf)

Sabda Baginda Nabi SAW yang bermaksud:

“Apabila datang kepada kamu orang yang kamu redhai agama dan akhlaknya, maka hendaklah kamu kahwini akan dia, jika kamu tidak melakukannya nescaya akan berlaku fitnah di atas muka bumi dan kerosakan yang besar”. (Riwayat At- Tirmizi)

Sudah jelas hadis ini menyebut bahawa ciri agama dan akhlak menjadi faktor penting dalam pemilihan calon suami. Jika kita mengabaikan kriteria berikut, sedikit sebanyak ia bolrh menyebabkan kerosakan kepada pembinaan sebuah rumah tangga yang bahagia. Walaupun begitu, dalam soal pemilihan jodoh dan pasangan ini, yang perlu diutamakan adalah restu kedua ibu bapa kita, kerana keredhaan itu terletak pada mereka.

MELENGKAPKAN DIRI DENGAN ILMU TEORI DAN PRAKTIKAL

Sebelum mendirikan rumah tangga, antara senjata yang menjadi penyelamat setiap pasangan suami isteri untuk kekal bahagia adalah mempunyai pendidikan dan ilmu pengetahuan terutama ilmu asas perkahwinan. Jangan lupa untuk daftar kursus perkahwinan yang diwajibkan untuk bakal pengantin hadir. Boleh tekan link ini

https://www.jais.gov.my/v2/index.php

Untuk mendapatkan maklumat tentang kursus pra-perkahwinan. Pasangan mesti menghadiri Kursus Pra Perkahwinan Islam yang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau syarikat-syarikat berdaftar dengan JAIN bagi mendapatkan sijil untuk melayakkan mereka membuat permohonan untuk berkahwin.

Ini salah satu peluang untuk setiap pasangan melakukan persediaan mengenai ilmu-ilmu asas dalam perkahwinan. Ramai pasangan hari ini yang mendambakan sebuah rumah tangga yang ideal, namun kebanyakan mereka tidak tahu cara untuk meraihnya sesuai dengan tuntunan syarak.

Oleh kerana itu, adalah menjadi kelebihan bilamana setiap pasangan itu memiliki ilmu yang berkaitan dengan dengan perkahwinan, agar kita dapat mengetahui hak dan kewajipan sebelum dan selepas berkahwin serta dapat mengamalkannya. Kebaikkannya adalah kita mampu mencegah segala perkara yang boleh merosakn perkahwinan. Apabila sesuatu ilmu itu dipraktikan dengan betul sudah tentu hasilnya lumayan. Inilah peri pentingnya bab ilmu sebagai salah satu persediaan sebelum berkahwin.

EKONOMI KEWANGAN YANG STABIL

Ini antara point penting yang seringkali menjadi perbualan utama dibahaskan jika berkaitan isu perkahwinan ini. Memang menjadi lumrah pada hari ini jika ditanya soal keadaan ekonomi peribadi kita jika menyatakan hasrat untuk menamatkan zaman bujang. Hal ini kerana, menjadi tanggungjawab seorang suami itu kelak apabila telah mendirikan rumah tangga untuk menafkahi isteri dan tanggungannya.

Perkara ini merupakan hak yang dituntut kepada suami. Begitu juga buat isteri, perlu untuk mendokong dan membantu suaminya dari segi memenuhi hak masing-masing. Sebelum berkahwin lagi kita perlu  berpandangan jauh untuk meletakkan nilai dan kualiti sebuah rumah tangga yang bakal kita bina.

Faktor kewangan antara elemen penting yang mampu melancarkan segala kelangsungan perjalanan majlis akad nikah dan perkahwinan. Setiap pasangan perlu mengenalpasti kemampuan kewangan dan merancang dengan cermat setiap perbelanjaan untuk berkahwin agar tidak melebihi pendapatan.

Ia harus dirancang bersama keluarga dalam menentukan bajet kita dalam pengurusan perkahwinan. Ekonomi kewangan yang stabil melalui pekerjaan yang tetap lazimnya dapat menjangkakan kestabilan sesebuah rumah tangga. Walaupun perkahwinan ini bukanlah semata-mata tentang duit dan kemewahan, namun ia antara salah satu keperluan dalam kehidupan setiap manusia.

Namun begitu, soal rezeki ini bukan milik manusia, kadang perkahwinan yang seadanya dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan sudah cukup untuk kita realisasikan. Bahkan perkahwinan menjadi lubuk rezeki seseorang dan mampu mengubah kehidupannya menjadi lebih baik bahkan boleh menambah kestabilan ekonomi yang sederhana menjadi luar biasa. Yang penting kita ada usaha untuk mencapainya.

MENJALANI PEMERIKSAAN KESIHATAN

Sebelum berkahwin, setiap pasangan mesti melakukan pemeriksaan kesihatan. Kebiasaannya setiap pasangan dikehendaki membuat ujian saringan HIV. Tujuan dijalankan ujian adalah untuk setiap pasangan mengetahui status HIV masing-masing dan dapat mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah transmisi penyakit ini kepada yang lain. Ujian boleh dijalankan di mana-mana Klinik Kesihatan Kerajaan berdekatan anda dan dilaksanakan secara percuma.

Berikut langkah-langkah untuk menjalankan ujian saringan HIV:

  • Kenalpasti Klinik Kesihatan Kerajaan yang berdekatan dengan anda
  • Pastikan anda membawa RM 1 berserta kad pengenalan diri
  • Isi Borang ujian saringan HIV Pra-Perkahwinan
  • Lakukan ujian saringan menggunakan Rapid Kit Test
  • Mendapat keputusan sama ada positif atau negatif

Disamping itu, pasangan mesti saling jujur jika salah satu antara mereka menghidapi penyakit keturunan kerana ada sesetengah penyakit berpunca daripada baka(gen) suami atau isteri. Antara contohnya penyakit talasemia, hemofilia dan skizofrenia. Jika saling jujur, ini akan memudahkan pasangan untuk mendapatkan khidmat kauseling genetik daripada pakar perubatan bagi menentukan status kesihatan bakal anak mereka.

PERMOHONAN KEBENARAN BERKAHWIN.

Pasangan perlu mendapatkan borang permohonan kebenaran berkahwin di pejabat daerah masing-masing yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri mengikut peraturan dan Undang-Undang Keluarga Islam. Sediakan dokumen-dokumen yang telah ditetapkan. Hari ini, Pasangan juga boleh mengisi borang dengan mudah secara atas talian dengan link berikut:

http://www.sppim.gov.my/sppim/online/benarnikahonline

Sila baca syarat dan ketetapan yang diberikan. Jika mahu hantar, pastikan borang telah diisi dengan lengkap beserta dokumen yang diminta supaya memudahkan pihak pejabat agama untuk memproses kebenaran perkahwinan anda.

Sekian sudah beberapa persediaan yang perlu diambil cakna oleh setiap bakal pasangan yang akan mendirikan rumah tangga. Semoga perkahwinan yang dibina adalah atas matlamat yang jelas serta bertujuan saling menambah kebahagiaan di dunia mahupun akhirat.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh