Ibu

Kenapa Hati Gelisah Dan Tidak Tenang

Sumber gambar google

Semua manusia ada sebab tersendiri mengapa tiba-tiba hati menjadi gelisah dan tidak tenang. Setiap satu rasa itu mempunyai cerita yang tersendiri sehingga sukar untuk diungkapkan. Tiada bait kata seindah cerita, tiada bait rasa seindah kata.

Terkadang kita tidak mengetahui asbab mengapa hati berasa gelisah dan tidak tenang. Sekiranya kita tidak dapat ketahui sebab yang menyebabkan hati tidak tenang, kita harus membuat check list hati untuk mengenalpasti mengapa hati tidak tenang. Kerana dengan cara itu sahaja kita boleh menjumpai sebabnya.

Terlalu banyak sebab yang boleh menjadikan hati gelisah dan tidak tenang antaranya:-

Manusia meletakkan dunia lebih utama daripada akhirat.

Ya, kita hidup di dunia untuk mencari barakah di akhirat kelak. Tetapi, sekiranya dunia yang dicari melebih akhirat itulah yang menjadi asbab hati tidak tenang.

Bait kata dalam buku cerita cinta Ahmad Ammar,

“..dunia ini adalah tempat untuk berjuang dan tempat untuk kita berpenat.Kita rehatlah bila mati dan Syurga-NYA sedang menanti..”

Sekiranya kita faham akan bait kata-kata arwah Ahmad Ammar, kita akan melakukan sesuatu itu bukan kerana dunia semata-mata tetapi kita harus melakukan sesuatu kerana inginkan keredhaan Allah, barulah hati tidak gelisah dan tenang. Kita harus berpenat bukan kerana inginkan kekayaan tetapi kita harus berpenat di dunia untuk bersenang-senang di akhirat kelak.

Dendam yang tiada kesudahan

Manusia mudah berasa gelisah dan tidak tenang kerana sukar melupakan akan sesuatu kesalahan dan kesilapan manusia.

Kerana kesilapan lalu,
Wujudnya dendam yang tiada kesudahan, Kerana kesilapan lalu,
Menjadikan hamba Allah yang sudah bertaubat sukar untuk melalui jalan hidup yang tenang.

Dalam surah Al-Hijr ayat 85 terjemahannya :-
“Dan kami tidak menciptakan langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya, melainkan dengan kebenaran. Dan sesungguhnya, kiamat pasti akan datang,maka maafkanlah (mereka) dengan cara yang baik”

Sesungguhnya dengan memaafkan kesilapan manusia yang lalu sahaja mampu untuk membuatkan seseorang itu berasa tenang. Kita hanyalah seorang hamba Allah yang lemah, justeru itu dengan memaafkan kesilapan silam sahaja mampu membuatkan hati kita kembali tenang dan tidak gelisah.

Hasad dengki akan kelebihan orang lain

Perasaan hasad dengki atau PHD ini biasanya mudah berlaku dalam kalangan masyarakat kita sekarang. Perasaan ini wujud di sebabkan kita tidak boleh melihat seseorang itu mendapat lebih daripada kita.

Sekiranya PHD ini sudah wujud dalam diri kita, cepat-cepatlah bertaubat. Sekiranya PHD ini sudah bermaharajalela dalam diri kita ianya akan sukar untuk buang, kerana manusia selalunya mudah lupa akan tujuan sebenar kita hidup di muka bumi ini.

Sesungguhnya, manusia yang mempunyai perasaan hasad dengki ini sangat bahaya, mereka sanggup lakukan apa sahaja untuk mendapatkan apa yang mereka mahukan. Justeru itu, kita perlu jauhi diri kita daripada PHD ini. Sekiranya, ianya telah wujud ditakuti hati kita mudah menjadi hitam. Sekiranya hati sudah hitam, sukar untuk mendapat nur daripada Allah SWT.

Kita mampu hindari diri daripada PHD ini dengan cara:-

  • JANGAN tinggalkan solat
    Solat mampu menghalang seseorang itu daripada melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah
  • Sentiasa mendekatkan diri dengan Allah dan muhasabah diri
  • Sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT dan juga sesama manusia

“perlu ada keredhaan Allah dalam amalan kita. Sekiranya Allah redha sedangkan seluruh makhluk menolak, maka ia tidak akan memberi apa-apa kesan pun. Kerana itulah, sepatutnya hanya redha Allah semata-mata yang menjadi tujuan utama dalam khidmat dakwah” Ahmad Ammar

Kenapa menghindarkan diri daripada PHD ini merupakan salah satu dakwah. Fahami maksud dakwah, mengajak kepada kebaikan. Bermaksud, kita mengelakkan diri daripada hasad dengki juga merupakan salah satu dakwah dalam diri kita sendiri kerana kita telah melakukan kebaikan dalam diri sendiri.

Sekiranya kita masih tidak mampu berdakwah dengan orang sekeliling, maka berdakwahlah dengan diri sendiri dahulu. Ketenangan akan sampai apabila kita redha akan ketentuan-NYa dan buang perasaan hasad dengki itu jauh-jauh dalam diri kita.

Tidak menunaikan kewajipan seharian

Maksud tidak menunaikan kewajipan seharian ini adalah tidak menunaikan solat 5 waktu sehari semalam. Sekiranya, kita terlalu mengejar kekayaan dunia terkadang kita akan lupa akhirat.

Justeru itu, jiwa kita akan berasa kosong kerana tiada iman dalam hati. Walaupun kita mempunyai segalanya tetap hati kita tidak tenang dan sentiasa berasa ada yang kurang. Semua ini disebabkan kekayaan yang dicari bukan ketenangan dimiliki.

Jadi, kenapa hati manusia boleh gelisah dan tidak tenang adalah disebabkan hati kita sudah ada satu titik hitam. Sekiranya titik hitam ini membiak ke seluruh kawasan, ianya akan menyebabkan kegelisahan dan ketenagan jiwa hilang. Untuk mendapatkan semula ketenangan itu, kita perlu mendekatkan diri kita kepada Sang pencipta. Sesungguhnya hanya Allah SWT yang mampu kembalikan semula ketenangan jiwa.

Ketenangan itu tidak boleh dibeli,
Ketenangan juga tidak boleh di dapati di jalanan,
Ianya hanya boleh didapati dengan kesyukuran dengan segala apa yang ada,
Itulah ketenangan yang sebenar.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh