Kelebihan Sukan Sunnah Diajar Kepada Anak-anak

Terdapat banyak kelebihan sukan sunnah jika diajar kepada anak-anak. Aktiviti riadah dan bersukan merupakan sesuatu perkara yang membawa kelebihan dan manfaat yang sangat besar kepada kita semua. Aktiviti sebegini haruslah dipupuk dari kecil lagi agar ianya menjadi kebiasaan dan seterusnya rutin seharian bagi anak-anak.

Namun begitu aktiviti sukan yang seimbang haruslah menjadi amalan anak-anak seperti aktiviti sukan Sunnah yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat pada hari ini.

Sukan Sunnah yang popular dalam kalangan masyarakat boleh dikategorikan kepada tiga jenis sukan iaitu memanah, berkuda, dan berenang. Aktiviti ini merupakan aktiviti yang telah dilakukan semenjak zaman Rasulullah S.A.W dan baginda sendiri sentiasa mencintai dan menggalakkan para sahabat untuk sama-sama mengamalkan aktivtiti tersebut.

Sabda Rasulullah SAW : “Lemparkanlah (lepaskanlah anak panah) dan tunggangilah (kuda).” (Riwayat Muslim).

Rasulullah S.A.W juga menggalakkan ibubapa mengajar dan melatih anak-anak supaya mencintai sukan Sunnah ini. Rasulullah SAW bersabda, “Ajarilah anak-anak kamu berkuda, berenang dan memanah” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Antara kelebihan-kelebihan yang ada di dalam sukan Sunnah ini ialah:

Memanah

sumber internet

Membentuk Emosi Dan Fizikal Diri

Melalui sukan memanah, anak-anak dapat membina emosi diri yang lebih stabil ketika berusaha untuk menepati sasaran yang ingin dituju. Mereka akan cenderung untuk lebih bertenang dan tidak tergopoh-gapah untuk memastikan sasaran atau target dapat disasarkan dengan tepat. Anak-anak yang bersifat pemarah atau bertindak melulu ketika melakukan sesuatu perkara boleh dilatih keperibadiannya untuk lebih terurus melalui sukan memanah ini.

Bidikan busur juga memerlukan kekuatan fizikal di bahagian lengan dan bahu agar anak panah dapat diimbangi dengan baik. Hal ini sekaligus dapat membina kekuatan fizikal anak-anak sekaligus memastikan keseimbangan tubuh badan mereka.

Rasulullah S.A.W pernah bersabda, “Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu.” (Riwayat Bazzar, dan Thabarani). Hal ini amat jelas menunjukkan sukan memanah sememangnya adalah riadah yang sangat baik untuk diamalkan dalam kehidupan kita.

Berkuda

Manfaat Kesihatan Seluruh Tubuh Badan

Aktiviti berkuda sememanganya dapat membawa manfaat kepada kesihatan keseluruhan tubuh badan kita. Anak-anak seharusnya mempelajari teknik menunggang kuda yang betul serta mempraktik agar manfaat kesihatan tubuh badan dapat diperoleh.

Antara manfaat kesihatan tubuh badan ialah meningkatkan dan merangsang daya tahan otot terutamanya di bahagian pelvik dan tulang belakang.

Selain itu, anak-anak yang mempunyai masalah mengimbangkan badan boleh diperkenalkan dengan sukan Sunnah ini kerana ianya mengajar untuk memgimbangi badan ketika berada di atas kuda dengan mengimbangi seluruh otot badan.

Melalui latihan berkuda juga, kecekapan otak kiri anak-anak dapat diransang dan dipertingkatkan. Ini kerana otak kiri manusia berfungsi seperti dalam menganalisis, mengingati, serta menggunakan fikiran logik. Anak-anak akan menjadi lebih sensitif dengan keadaan sekeliling ketika menunggang dan lebih cekap dalam membuat keputusan ketika mengawal kuda.

Selain itu juga, sukan berkuda dapat membantu anak-anak membina emosi dan mental yang lebih terkawal. Anak-anak akan mempunyai daya konsentrasi dan fokus yang tinggi serta membentuk nilai keprihatinan kepada haiwan dan persekitaran.

Pelajarilah sukan berkuda kerana kelebihan yang ada padanya seperti Sabda Rasulullah S.A.W, “Kuda itu ada tiga jenis: kuda Allah, kuda manusia dan kuda syaitan. Adapun kuda Allah ialah kuda yang disediakan untuk berperang di jalan Allah, maka makanannya, kotorannya, kencingnya dan apanya saja – mempunyai beberapa kebaikan. Adapun kuda syaitan, iaitu kuda yang digunakan untuk berjudi atau untuk dibuat pertaruhan, dan kuda manusia pula, adalah kuda yang diikat oleh manusia, ia mengharapkan perutnya (hasilnya), sebagai usaha untuk menutupi keperluannya.”  (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berenang

Meningkatkan Keyakinan Diri Anak-anak

Sukan berenang dapat meningkatkan keyakinan diri anak-anak seperti mengatasi rasa takut kepada air. Mereka akan lebih berani ketika berada di dalam paras air tertentu dan sekaligus membina pergerakan motor kaki supaya lebih kuat.

Anak-anak juga akan berkeyakinan dalam membina sosial diri. Mereka akan lebih yakin ketika berhadapan dengan persekitaran sekeliling dan membina sosial ketika belajar berenang bersama-sama rakan yang lain.

Melalui aktiviti berenang juga, anak-anak akan merasai satu pengalaman dan keseronokkan baru. Kebiasaaannya aktiviti permainan banyak dilakukan di kawasan lapang atau padang, kini anak-anak boleh mencipta keseronokkan di dalam air dengan cara dan aspek keselamatan yang terjaga.

Konklusinya, di sebalik cabaran dan keseronokkan yang ada pada setiap sukan Sunnah ini, tersembunyi pelbagai kelebihan yang akan memberi manfaat kepada anak-anak. Carilah waktu dan rancanglah aktiviti sebegini dengan baik agar anak-anak mendapat manfaat yang betul sekaligus mendapat ganjaran dalam menghidupkan Sunnah Rasulullah S.A.W.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh