Ibu

Cara Menjaga Hati Pasangan

cara menjaga hati pasangan

Menjaga hati pasangan adalah penting untuk mengekalkan keharmonian dan kebahagiaan dalam rumah tangga. Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), lebih 1/3 perkahwinan yang berakhir dengan penceraian berlaku dalam tempoh 5 tahun pertama perkahwinan.

Antara salah satu faktor yang menyumbang kepada penceraian tersebut adalah kegagalan menjaga sikap masing-masing yang menimbulkan rasa kurang senang pada pasangan. Oleh itu, setiap pasangan yang berkahwin haruslah mempunyai ilmu dan berusaha memperbaiki diri menjadi lebih baik agar perkahwinan yang dibina dapat berkekalan hingga ke akhir hayat. Berikut adalah antara tips yang boleh diamalkan untuk menjaga hati pasangan agar kekal bahagia.

Bersikap penyayang dan mengambil berat

Pada awal perkahwinan ramai di antara pasangan yang bersikap romantik dan penyayang. Namun setelah lama berkahwin dan mempunyai ramai anak, sikap tersebut semakin lama semakin berkurangan. Tanpa disedari, sikap mengambil berat pada pasangan semakin luntur apabila fokus mulai dialihkan kepada anak-anak. Tahukah anda bahawa suami terutamanya sentiasa memerlukan perhatian dari seorang isteri. Seorang isteri haruslah bijak membahagikan masa menguruskan anak-anak dan melayani suami. Sentiasa berusaha memberi perhatian kepada pasangan dalam apa jua keadaan. Pastikan anda tahu apa masalah dan keperluannya. Jalankan tanggungjawab dengan penuh ikhlas.

Sebagai contoh, seorang isteri perlu sentiasa menyediakan keperluan makan, pakai, minum, menjaga penampilan, kehendak suami dan sebagainya manakala suami perlu peka tanggungjawabnya pada isteri seperti mengambil berat soal nafkah zahir dan batin. Jagalah hati isteri, beri didikan yang secukupnya, ambil berat soal kesihatannya. Belajarlah untuk meringankan beban isteri seperti menolong menguruskan anak-anak, membantu mengemas rumah atau sesekali apa salahnya jika anda memasak untuk pasangan. Hal hal sebegini amat menyenangkan dan membahagiakan hati pasangan. 

Mempunyai hubungan komunikasi yang baik

Komunikasi yang baik adalah antara faktor yang penting untuk menjaga keharmonian rumah tangga kerana komunikasi adalah medium hubungan dua hala seseorang manusia. Tanpa komunikasi yang berkesan, banyak perkara yang tidak jelas akan menimbulkan konflik dan salah faham yang timbul apabila tidak diselesaikan akhirnya akan membadai dengan tsunami rumah tangga.

Antara cara untuk menjaga hati pasangan adalah dengan memanggil dengan panggilan yang manja. Rasulullah SAW menggelar isteri baginda dengan panggilan yang menyenangkan hati. Contohnya memanggil Saidatina Aishah RA dengan gelaran yang sangat romantik seperti ‘humaira’ yang bermaksud ‘putih kemerah-merahan’. Selain itu, belajarlah untuk berkomunikasi dengan bijak dan bukannya mengikut perasaan. Jika mempunyailah masalah, berbincanglah dengan cara yang betul, konkrit dan juga ‘detail’ bukannya ‘shallow’ agar masing masing sama sama dapat mencapai persetujuan.

Menjadi pendengar yang baik

Sedar atau tidak sebenarnya setiap pasangan perlu belajar ‘skill’ mendengar dengan baik kerana tidak ramai yang memiliki ‘skill’ ini sedangkan menjadi pendengar yang baik adalah penting agar untuk kesejahteraan rumah tangga. Wanita lebih suka menggunakan emosi apabila dilanda masalah sedangkan lelaki lebih gemar menggunakan akal logik. Apabila pasangan anda dilanda masalah, nasihatilah mereka dengan memberi nasihat secara umum bukannya meleret-leret atau menghukum mereka.

Contoh, jika pasangan anda menghadapi masalah di tempat kerja dan pulang ke rumah menceritakan segala masalah mereka pada anda, iya kan sahaja apa yang dikatakan oleh mereka. Jangan sesekali mengadili pasangan anda walaupun anda tahu dia yang menjadi punca terhadap masalah yang dialaminya.  Jangan ditambah bebanan yang mereka dilalui dengan herdikan atau memberi respon dengan cara‘sarcastic’ meskipun anda bosan mendengar ceritanya kerana itu akan menjadi racun yang lama kelamaan akan menghilangkan kasih sayang terhadap pasangan.

Tahukah anda kebanyakan wanita suka meluahkan perasaan sebagai suatu bentuk terapi kerana dapat melepaskan segala masalah yang terbuku di hati tapi sering disalah erti oleh kaum lelaki yang yang rata ratanya lebih memfokuskan kepada solusi terhadap setiap masalah yang dihadapi. Jadi, kenalilah rentak pasangan masing-masing.

Menjaga penampilan

Bayangkan jika anda seorang yang menjaga penampilan sedangkan pasangan anda selekeh? Apa perasaan anda? Sudah pasti anda tidak suka bukan. Jadi berhiaslah untuk pasangan anda dan bukannya berhias untuk orang lain. Ramai diantara pasangan berhias sakan apabila ke tempat kerja tapi di rumah tidak menjaga penampilan sedangkan menjadi keutamaan anda menjaga hati pasangan dengan menjaga penampilan anda. Kebersihan dan kekemasan adalah paling penting.

Pastikan anda sentiasa merapikan diri dengan menjaga bau nafas, bau badan, sentiasa mengenakan minyak wangi, dan sebagainya. Bagi wanita, pakailah makeup sekadar perlu. Sekurang-kurangnya oleskan pelembap bibir, pakai bedak dan eyeliner. Tidak perlu makeup terlalu tebal cukup ‘to enhance your natural beauty’ manakala bagi lelaki pula sentiasalah rapikan rambut anda dengan memakai minyak rambut agar sentiasa kelihatan kemas.

Menegur dengan cara berhikmah

Kehidupan rumah tangga tak akan lari dari masalah. Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Jika pasangan anda melakukan kesilapan atau kesalahan, tegurlah dengan cara berhikmah. Islam telah mengajarkan beberapa garis panduan untuk suami menghadapi isteri yang tidak mendengar kata.

Dalam surah Al-Nisa ayat 34, Allah berfirman dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka hendaklah kamu menasihati mereka, dan jika mereka berdegil pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan kalau juga mereka masih degil pukullah mereka dengan pukulan ringan yang bertujuan mendidiknya.

Islam mengajar kita untuk tidak terus menghukum apabila pasangan melakukan kesilapan. Ada langkah langkah yang perlu kita turuti dan janganlah melakukan tindakan drastik yang boleh memakan diri sendiri. Tegurlah pasangan anda apabila perasaan anda telah reda dan bukannya dalam keadaan marah. Kerana seseorang yang sedang marah sukar membuat pertimbangan yang wajar.

Selain itu, jagalah maruah pasangan anda dengan menegurnya bukan di khalayak tetapi secara sendirian. Anda perlu peka tentang masa dan keadaan yang sesuai untuk menyatakan teguran anda terhadap pasangan. Sebagai contoh, ketika pasangan anda sedang relaks menonton televisyen dan bukannya semasa penat apabila balik dari kerja.

Tips terakhir, menurut Pakar Motivasi terkenal Datuk Dr Fadzillah Kamsah, sebelum anda menegur pasangan, pastikan anda memujinya terlebih dahulu. Kaedah ini sangat berkesan untuk melenturkan mood pasangan anda agar dapat menerima nasihat yang diberikan.

Menghormati pendapat

Setiap pasangan mempunyai ego masing-masing terutamanya lelaki. Ketepikan ego anda. Ingat, bukan hanya pendapat anda yang perlu dituruti tetapi anda juga perlu bersedia untuk mendengar dan menerima pendapat pasangan anda. Jangan sesekali merasakan hanya diri anda sahaja yang betul. Tidak salah jika anda mendengar pendapat pasangan anda walaupun anda merasakan pendapat anda lebih tepat. Sekurang-kurangnya mereka akan rasa dihargai.

Tidak salah juga untuk mempunyai pendapat yang berbeza tetapi kata sepakat haruslah dicapai agar tiada perasaaan yang terguris. Jika anda ingin berhujah, berhujahlah dengan cara yang bijaksana bukannya dengan niat untuk membuktikan kehebatan anda. Jangan sesekali memandang rendah pada pasangan jika anda tidak bersetuju dengan ideanya atau jika anda merasakan pendapatnya tidak bernas. Sebaliknya berikanlah kritikan yang membina dan bukan menjatuhkan kredibiliti mereka. Ingat, tidak ada manusia yang sempurna namun segala kekurangan yang ada boleh dilengkapkan jika masing-masing tahu peranan mereka.

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh