Cara Menjadi Mertua Yang Baik

Sumber google : gambar hiasan menantu vs mertua

Keluarga yang bahagia merupakan satu anugerah yang terindah buat semua insan yang bernama manusia. Keluarga bahagia menjadi idaman kau, aku dan dia. Justeru itu, mendapat keluarga mertua yang baik merupakan satu anugerah yang terindah buat kaum hawa.

Kenapa, mendapat keluarga mertua yang baik merupakan anugerah terindah buat kaum hawa?

Sebabnya adalah kebanyakan kaum hawa lebih sukar untuk menyesuaikan diri dengan keluarga baru (keluarga suami) terutamanya mereka yang kurang pandai memasak. Oops, terkeluar pula perkataan itu.

Sukar menyesuaikan diri bukan disebabkan tidak pandai memasak, tetapi secara jujurnya kaum hawa akan berasa sedikit awkward ditempat baru berbeza dengan kaum adam mereka lebih sempoi dan easy going dengan keadaan sekeliling.

Kebanyakan kaum hawa, mereka memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri. Tetapi, apabila sudah sesuai dengan keadaan sekeliling mereka akan pandai membawa diri.

Pandai membawa diri di sini bermaksud boleh membuat sesuatu tanpa berasa kekok seperti mula-mula masuk dalam keluarga baru. Mereka akan lebih selesa berbual dan bergosip dengan ahli keluarga baru mereka. Oleh itu, mendapat keluarga mertua yang baik menjadi satu nikmat terbesar bagi kaum hawa kerana keluarga mertua yang baik bermakna mereka akan sentiasa memahami menantu mereka serta sentiasa memberi nasihat yang berguna kepada menantu mereka.

Tetapi, sekiranya kaum hawa tidak mendapat keluarga mertua yang memahami janganlah menjauhkan diri dengan keluarga mertua tetapi cuba memahami mereka. Kita perlu faham bahawa, mereka yang membesarkan pasangan kita sehingga menjadi seorang lelaki yang sempurna. Justeru itu, kita perlulah sentiasa memahami mereka bukan menjauhkan diri daripada mereka.

Sekiranya menantu sudah mencuba yang terbaik untuk memahami mertua maka, mertua juga haruslah cuba memahami menantu mereka pula.

Apa kata kita berkongsi serba sedikit cara menjadi mertua yang baik?

Amalkan sikap bertolak ansur dan fahami situasi menantu.

Kebiasaanya, menantu dan mertua selalu berselisihan faham apabila mereka tidak memahami situasi antara satu sama lain. Jadi, apa kata sekiranya berlaku perselisihan faham, mertua mengalah. Dengan cara mengalah, mereka mampu memberi contoh yang baik kepada menantu kerana dalam setiap perhubungan yang kekal sehingga ke jannah. Mengalah adalah cara yang terbaik bagi mengelakkan perbalahan.

Tidak salah untuk mengalah,
Mengalah tidak bermaksud kalah,
Mengalah tidak bermaksud salah

Justeru itu, untuk menjadi role model yang terbaik buat menantu, fahamilah situasi mereka. Elakkan perbalahan dan persengketaan, amalkan sikap bertolak ansur dan saling faham memahami.

Ajar menantu cara menyediakan makanan yang digemari oleh anak mereka.

Kadang kala ibu berasa kasih sayang anak mereka telah diambil alih oleh menantu. Justeru itu, mereka akan buat apa sahaja bagi memastikan mereka kelihatan lebih bagus daripada menantu mereka. Tetapi, sedarkah anda bahawa tindakan anda membuatkan menantu hilang rasa hormat terhadap diri kita.

Justeru itu, pilihan yang terbaik untuk kelihatan sebagai seorang mentua yang baik,  kita perlu mengajar atau menurunkan segala ilmu untuk menarik hati suami.

Oops, silap bukan menarik hati suami tetapi ajari menantu apa yang diminati oleh anak mereka. Mereka lebih mengenali anak mereka berbanding isteri yang baru sahaja masuk ke dalam keluarga mereka.

Salah satu cara yang mudah untuk mengeratkan hubungan menantu dan mertua adalah menyediakan makanan di dapur. Nampak seperti mudah untuk melakukannya tetapi hanya yang pernah mengalaminya sahaja yang mengetahui dan fahami betapa sukarnya untuk menantu membantu ibu mertua di dapur.

Setiap ibu ada cara yang tersendiri dalam menyediakan makanan buat keluarga. Justeru itu, sebagai menantu kita perlu mengikut cara mereka. Walaupun itu salah satu halangan buat menantu tetapi mertua haruslah sentiasa membantu menantu tanpa memalukan menantu di hadapan orang ramai sekiranya mereka melakukan kesalahan.

Mertua yang baik adalah mertua yang menjaga aib menantu bukan membuka aib menantu.

PERINGATAN BUAT MENANTU!!!

Jangan pernah berasa cemburu dengan ibu mertua, lebih baik kita berkongsi kasih bersama ibu mertua daripada berkongsi kasih dengan wanita lain. Sesungguhnya, syurga suami masih lagi di bawah telapak kaki ibu. Jadi, janganlah isteri menjadi asbab suami masuk neraka.

Sentiasa menjadi pendengar dan penasihat yang terbaik buat menantu

Sekiranya terlihat anak dan menantu mempunyai perselisihan faham, jadilah pendengar yang terbaik. Dan jangan sesekali ibu bapa mertua mempunyai perasaan berat sebelah.

Berat sebelah di sini bermaksud sentiasa beranggapan bahawa semua kesalahan datangnya daripada menantu bukan daripada anak mereka. Sekiranya ada perasaan berat sebelah, elakkan daripada memberikan nasihat kerana ianya akan menguris hati menantu. Perbuatan ini akan menjauhkan menantu daripada mertua bukan mengeratkan hubungan antara mereka.

Jadilah ibu bapa yang sentiasa menasihati anak-anak ke arah yang lebih baik, jangan jadikan anak-anak bahan eksperimen untuk mendapatkan sesuatu tetapi jadilah suri tauladan yang baik buat mereka.

Sebenarnya, kehidupan anak adalah cerminan didikan ibu bapa. Justeru itu, jadilah contoh yang terbaik buat mereka. Bukan senang untuk menjadi seorang mertua yang baik, dan bukan senang juga untuk menjadi menantu yang baik. Tetapi, sekiranya kita berusaha bersama-sama ke arah kebaikan insya Allah kebaikan yang akan hadir.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh