Ibu

Cara Mencari Kawan Sejati

Cara mencari kawan sejati? Secara fitrahnya manusia memerlukan kawan. Kawan seringkali dikaitkan sebagai insan yang dipercayai untuk menjadi pendengar yang setia, penasihat yang baik, yang mampu mambantu kita di saat senang dan susah. Namun, untuk mencari kawan sejati bukanlah mudah.

cara mencari kawan sejati

cara mencari kawan sejati

Perlu anda ketahui terdapat dua jenis kawan dalam hidup kita iaitu kawan atau sahabat yang membawa kita ke syurga atau yang mencampakkan kita ke dalam neraka. Oleh itu, penting untuk kita mencari teman yang baik agar mereka menjadi asbab kita mampu memperoleh syurga Allah kerana antara syafaat di akhirat nanti adalah bersahabat dengan orang yang soleh.

Ciri-ciri kawan yang baik adalah disaat kita memandangnya hati menjadi tenang. Di kala kita berbicara dengannya, terlerai segala masalah yang terbuku. Mereka juga adalah orang yang dipercayai untuk menyimpan segala rahsia kita. Oleh itu, ayuh sama-sama kita berusaha mencari kawan yang baik. Jangan sampai tersalah pilih kawan, kelak merana badan! 

Tips Mencari Kawan Sejati ;

Niat kerana Allah. Bertemu dan berpisah kerana Allah

Kata bijak pandai, untuk menghubungkan batu dengan batu perlu menggunakan simen, untuk menghubungkan dinding dengan dinding perlu menggunakan tali tapi untuk menghubungkan hati dengan hati adalah melalui iman.

Ukhwah persahabatan yang dibina perlulah bermula dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah. Bersahabatlah untuk mencari redha Allah dan bukannya terselindung niat lain seperti ingin mengambil kesempatan di atas kebaikannya, kekayaannya atau atau pengaruh kuasa, atau dorongan hawa nafsu.

Rasulullah SAW bersabda, ‘perumpamaan orang yang bersahabat dengan orang soleh dan orang yang bersahabat dengan orang buruk perangai seperti penjual minyak wangi dan tukang kimpal besi. Pasti engkau akan mendapat bauan wangi dari penjual minyak wangi samada kamu membelinya ataupun tidak. Sedangkan jika berkawan dengan tukang besi kamu akan merasa bahang atau terkena kotorannya, hadis riwayat Bukhari.

Kita seringkali mendengar hadis berikut kan. Hakikatnya berapa ramai di antara kita yang mengambil pelajaran dari hadis ini. Untuk mendapat kawan yang baik, seharusnya kita terlebih dahulu perlu menjadi baik. Lakukan kebaikan pada manusia kerana Allah bukannya untuk mendapat penghargaan manusia.

Dari Allah kita mendapat, kepada manusia kita memberi. Yakinlah pasti kita akan menemukan orang yang baik-baik jika kita memulakan kebaikan. Hebatnya berukhwah kerana Allah sehingga dijanjikan mendapat naungan Allah di padang mahsyar. Iaitu bertemu dan berpisahnya dua insan kerana Allah SWT. 

Menghadiri majlis ilmu dan bermasyarakat seperti di masjid

Untuk berjumpa dengan orang yang baik, kita seharusnya menghadiri tempat yang baik. Antaranya,  sentiasalah menghadiri majlis ilmu di masjid. Selain dapat menimba ilmu pengetahuan, kita juga dapat berkenalan dengan saudara muslim yang lain. Sesungguhnya masjid adalah antara tempat yang paling strategik untuk membina dan mengeratkan ukhwah sesama islam.

Selain itu, anda juga boleh mencari komuniti yang baik dengan menyertai program yang mengajak untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti usrah atau persatuan yang semakin banyak dianjurkan pada masa kini. Apabila anda bermasyarakat, maka anda akan dikenali maka, secara tidak langsung anda dapat membina jemaah silatulrahim dengan mudah.

Sentiasalah suburkan diri anda dengan nilai kasih sayang kepada semua orang yang anda kenali tanpa berharap apa-apa balasan.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w, “Man la Yarham, la Yurham. Maksudnya, barangsiapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi.

Jika anda menyayangi kerana Allah, pasti Allah akan memberikan rahmat dengan menganugerahkan teman sejati yang setia bersama kita di saat senang mahupun susah. Pokoknya, kitalah dulu yang perlu berusaha.

Berdoa, berdoa dan berdoa

Berdoa adalah senjata orang mukmin. Namun, berapa ramai diantara kita yang benar-benar memanfaatkan kepentingan doa.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 186: “Dan apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu mengenaiku maka beritahu kepada mereka: Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka. Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku dengan mematuhi perintahku dan hendaklah mereka beriman kepadaku supaya mereka menjadi baik serta betul.

Berdoalah kepada Allah dari sekecil-kecil perkara hingga ke sebesar-besar hajat. Berdoalah agar Allah mempertemukan kita dengan orang yang baik. Orang-orang yang Allah telah angkat darjat mereka disisinya agar mereka dapat membimbing kita pada jalan kebaikan dan kebenaran dan bukannya dipertemukan dengan kawan yang dari ahli maksiat dan melakukan kemungkaran.

Kadangkala sukar untuk kita membezakan orang yang bersahabat dengan kita atas kepentingan diri mereka sendiri ataupun tidak. Ramai yang yang sanggup menganiaya rakan sendiri seperti tikam belakang atau menceritakan rahsia dan aib kita kepada orang lain sedangkan kita menganggapnya sebagai insan yang dipercayai untuk menyimpan rahsia kita. Oleh itu perbanyakkanlah berdoa kepada Allah agar kita diberi hati untuk sentiasa mengetahui antara yang hak dan batil.

Memperbaiki diri menjadi lebih baik

Bagaimana mungkin kita mengharapkan untuk mendapat kawan yang baik jika kita bukan orang yang betul-betul baik. Menurut Pakar Psikologi, setiap manusia mempunyai kecenderungan untuk menarik orang yang mempunyai tenaga yang sama dengan diri mereka kerana manusia zahirnya berhubung melalui getaran tenaga.

Makna kata, jika anda merasakan bahawa persekitaran anda sentiasa dikelilingi oleh orang yang negatif seperti suka mengumpat, membuang masa, membazir, mengabaikan tuntutan agama seperti tidak solat dan sebagainya, maknanya anda juga mempunyai ciri-ciri dan pola kehidupan yang sebegitu. Sebelum mempersalahkan keadaan atau orang lain, perbaiki diri terlebih dahulu.

Jika anda melihat rakan anda melakukan kemungkaran, anda berperanan untuk menasihatinya. Kaedah terbaik untuk menasihati seseorang adalah dengan menunjukkan contoh tauladan yang baik. Jika anda melihat rakan anda tidak solat, ajaklah mereka untuk solat bersama-sama. Siapa tahu dengan kesabaran anda, lambat laun terbuka pintu hati mereka untuk berubah menjadi lebih baik.

Pastikan anda mempunyai jati diri yang teguh terlebih dahulu kerana ramai manusia terutamanya remaja senang dipengaruhi oleh rakan walaupun pada awalnya mereka tidak mahu melakukan kejahatan. Oleh itu, persiapkan diri anda dengan ilmu yang mantap agar walau di mana sahaja anda berada atau dicampakkan, pendirian anda tetap teguh dan tidak mudah digoyah oleh sesiapa. Sebaliknya anda yang berperanan sebagai agen dakwah yang mampu menyampaikan risalah yang bermanfaat kepada semua orang yang anda temui. 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh