Adab Melawat Bayi Baru Lahir

Pasti ramai diantara kita yang teruja apabila saudara mara atau rakan terdekat yang baru melahirkan bayi. Namun, anda perlu ketahui beberapa adab penting sebelum melawat ahli keluarga anda atau rakan taulan kerana bayi yang baru lahir amat sensitif atau masih lagi ‘fragile’ kerana mereka masih lagi menyesuaikan diri dengan dunia persekitaran yang baru.

Andai anda tidak peka dengan adab adab ini kedatangan anda yang pada awalnya mempunyai niat yang baik akan mengundang rasa tidak selesa kepada kedua ibu bapa bayi berkenaan. Oleh itu, sedari dengan lebih awal agar kedatangan anda sebagai tetamu dihargai.

adab melawat bayi baru lahir

Maklumkan kedatangan dengan lebih awal

Sebelum anda menghadiri rumah siapa sekalipun, pastikan anda memaklumkan terlebih awal kepada tuan rumah agar mereka bersedia dengan kedatangan tetamu. Ada sesetengah ibu yang baru bersalin masih belum bersedia menerima kedatangan tetamu pada awal pantang. Apatah lagi jika mereka bersalin bukan secara normal. Ibu yang bersalin secara ‘cesarean’  memerlukan penjagaan yang cukup rumit. Jika keadaan mereka belum pulih dengan sepenuhnya, pastikan anda tidak mengunjungi mereka. Pastikan keadaan benar benar sesuai sebelum membuat keputusan untuk melawat ibu dan bayi berkenaan.

Sediakan hadiah/wang sebagai sedekah kepada bayi yang baru lahir

Kita semua sedar bahawa Islam sangat menganjurkan pemberian hibah atau hadiah kepada saudara semuslim apatah lagi kepada bayi yang baru dilahirkan. Ia adalah sedekah yang paling baik kerana bayi yang baru lahir adalah suci. Pemberian hadiah secara tidak langsung menggembirakan hati si ibu. Walaupun mereka tidak mengharapkan sebarang hadiah, namun menjadi adab sebagai tetamu, kita pastinya turut berkongsi kegembiraan dengan mereka dengan pemberian hadiah kepada si ibu dan anak. Tidak perlu hadiah yang mahal. Berilah setakat kemampuan anda.

Jaga tingkah laku dan percakapan

Semasa melawat bayi, pastikan anda bercakap apa yang perlu. Si ibu mungkin tidak bersedia untuk berbual panjang atau menjawab pelbagai soalan dari anda kerana keadaan mental dan fizikal mereka yang masih lemah setelah bersalin. Oleh itu, sangat penting untuk memastikan emosi ibu terjaga. Jika anda mengunjungi mereka, pastikan anda tidak duduk berlama-lama.

Ingat, kedatangan anda sekadar ingin berziarahi dan bukannya untuk bertukar cerita atau pendapat. Anda juga tidak perlu berperanan untuk memberikan nasihat walaupun anda lebih berpengalaman. Cukup sekadar bertanya khabar si ibu dan anak dan mendoakan mereka.

Selain itu, semasa anda sedang melawat, kemungkinan terjadi keadaan yang tidak dijangka seperti bayi sedang menangis, atau bayi sedang menyusu. Pastikan anda memberi ruang kepada si ibu untuk menguruskan bayi mereka terlebih dahulu. Anda boleh memainkan peranan dengan bertanya keperluan si ibu seperti anda boleh  membantu mereka seperti mencapai tuala, lampin atau botol susu jika diperlukan

Minta izin untuk mengambil gambar atau memegang bayi

Seringkali kita berasa teruja dengan kelahiran bayi baru. Ada di antara kita terus mengambil gambar tanpa meminta izin dari ibu bapa bayi berkenaan. Anda seharusnya bertanya mereka terlebih dahulu kerana ada sesetengah ibu bapa masih belum bersedia untuk memaparkan gambar anak mereka terutamanya di media sosial. Jika anda berbuat demikian, mungkin mengundang rasa kurang senang pada mereka. Anda perlu tahu tidak semua orang suka berkongsi data peribadi di media sosial.

Selain itu, anda juga perlu meminta izin untuk memegang bayi. Ada beberapa kondisi anda seharusnya tidak bertindak untuk memegang bayi yang baru lahir seperti jika mereka sedang tidur atau kelahiran bayi pra matang dan keadaan bayi yang masih belum stabil seperti menghidap penyakit dan sebagainya. Hal ini kerana kebanyakan bayi senang untuk dijangkiti penyakit yang berada di persekitarannya. Risiko untuk mereka dijangkiti lebih tinggi andai kebersihan tidak dijaga.

Oleh itu, anda disarankan untuk mencuci tangan terlebih dahulu sebelum menghampiri bayi dan pastikan juga anda menziarahi mereka bukan dalam keadaan anda tidak sihat seperti demam, selesema, batuk dan sebagainya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh