Ibu

Jadi isteri, perlu berdikari atau tidak?

Setiap pasangan yang berkahwin perlu mengetahui tentang peranan dan tanggungjawab masing-masing demi menjaga keharmonian rumah tangga. Dalam Islam, seorang suami memainkan peranan yang lebih besar untuk mengemudi rumah tangga kerana seorang lelaki telah diberi tanggungjawab sebagai seorang pemimpin.

suami isteri

suami isteri

Namun begitu, desakan ekonomi dan taraf hidup sosial yang tinggi pada masa kini menuntut wanita untuk berdikari dalam mengatur kehidupan seharian. Pada masa kini lebih ramai wanita gemar berdikari untuk menampung keperluan hidup bagi meringankan beban suami. Sekarang kita lihat istilah ‘woman empowerment’ membanjiri pelbagai sektor tidak kira sektor pekerjaan, kebajikan sosial dan lebih-lebih lagi soal pengurusan rumah tangga.

Secara general, kebanyakan wanita lebih mendominasi melakukan pelbagai perkara dalam rumah tangga. Mereka memilih untuk berdikari atas pelbagai faktor. Ada yang melakukan kerana mereka tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa malah ada juga yang melakukan kerana tidak mahu menyusahkan suami. Tidak kurang juga ada segelintir isteri yang tidak berperanan menjalankan tanggungjawab dengan sempurna dan malas berdikari apabila sudah terbiasa ditanggung sepenuhnya oleh suami.

Masih ada isteri yang suka suami menguruskan segala-gala untuknya selepas berkahwin sehingga mengundang bebanan kepada suami. Sebagai contoh, isteri yang lebih rela menjadi suri rumah tangga sepenuh masa dengan mengharapkan nafkah dari suami semata-mata sedangkan dia sedar suaminya perlu bekerja keras untuk memenuhi kehendak peribadinya dan menanggung seluruh isi keluarga kerana mempunyai pendapatan yang tidak seberapa.

Dalam keadaan sebegini menuntut isteri untuk berdikari bekerja bagi menampung keperluan dan kehendak dirinya tanpa membebankan suami. Meskipun suami berkemampuan sekalipun, wanita haruslah mempunyai perancangan masa depan terutamanya pengurusan kewangan yang bijak sebagai langkah berjaga-jaga. Sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini dalam perkahwinan seperti suami jatuh sakit, penderaan, atau penceraian sekurang-kurangnya wanita yang berdikari boleh menampung kehidupan dirinya sendiri jika berhadapan dengan situasi yang tidak menentu.

Pada sesetengah keadaan, apabila wanita sudah terbiasa hidup berdikari terutamanya sebelum berkahwin, mereka terbawa-bawa sikap tersebut sehingga ke alam perkahwinan dengan alasan mahu memikul tanggungjawab bersama-sama. Sebagai contoh, mereka lebih selesa pergi kemana-mana seperti ke pasaraya secara sendirian, menguruskan segala keperluan anak-anak secara sendirian, melakukan pemeriksaan kandungan di klinik tanpa ditemani suami malah mereka juga sanggup melakukan kerja-kerja teknikal seperti membaiki paip, lampu, kipas yang rosak dan sebagainya yang menjadi tanggungjawab sang suami.

Ada suami yang merasa tercabar melihat isteri yang melakukan segalanya sendirian termasuklah melakukan keputusan yang sepatut dibuat oleh mereka seolah-olah mereka tidak wujud. Namun ada juga kelompok suami yang akan merasa culas dengan tanggungjawabnya kerana melihat kemampuan isteri yang lebih berdikari. Tidak mustahil akan ada suami yang mengambil kesempatan untuk menyerahkan pelbagai tugasan lain yang sepatut menjadi tanggungjawabnya apabila mereka melihat keupayaan isteri melakukan pelbagai perkara.

Bagi mengelakkan risiko kemelut rumah tangga, penting bagi suami dan isteri berbincang dan berkomunikasi dengan baik berkaitan soal tanggungjawab masing-masing. Pastikan tugasan diagihkan dengan adil mengikut kemampuan dan persetujuan masing-masing. Peratusan penceraian juga dikatakan semakin meningkat apabila seorang wanita itu semakin berdikari.

Ada wanita merasakan apabila mereka melakukan segala-galanya, mereka melihat suami bukanlah lagi suatu fungsi dalam rumah tangga sehingga merasakan penceraian adalah jalan penyelesaian yang terbaik. Jika kita selidiki, fungsi perkahwinan itu sendiri adalah meletakkan nilai kebergantungan seorang wanita kepada suami. Jadi fahamilah terlebih dahulu konsep perkahwinan dan banyakkanlah mempelajari sirah Nabi Muhammad s.a.w bagaimana untuk menguruskan kehidupan lebih-lebih lagi kehidupan alam berumah tangga.

Secara kesimpulannya, dalam konteks masa kini, wanita sangat digalakkan untuk berdikari namun perlu ada check and balance. Terdapat satu kajian yang dijalankan pada tahun 2015 iaitu The Shriver Report, An Insight Into the 21st Centuary Men. Kajian ini dilakukan kepada 818 lelaki, dimana kajian ini menunjukkan mereka suka jika mempunyai anak perempuan yang ‘independent’ tetapi mereka lebih sukakan sekiranya mempunyai isteri yang ‘sweet and obedient’.

Makna kata, kebanyakan suami boleh menerima hakikat isterinya seorang yang berdikari tetapi mereka lebih suka sekiranya seorang isteri masih meletakkan nilai kebergantungan kepada mereka agar diri mereka rasa diperlukan, dihargai dan dihormati sebagai seorang suami. Terdapat suatu kisah yang diceritakan oleh Aisyah R.A yang mengatakan Rasulullah s.a.w adalah seorang suami yang tidak kekok melakukan kerja di rumah dan seringkali membantu isterinya melakukan kerja kerja di dapur. Jelaslah, bahawa ikatan kasih sayang semakin utuh apabila suami dan isteri memperuntukkan banyak masa melakukan aktiviti bersama dan bukannya menyerahkan tugasan kepada isteri semata-mata.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh