Cara Elakkan Diri Dari Mengumpat

Mengumpat bermaksud berkata perihal keburukan yang berlaku ke atas seseorang kepada orang lain tanpa diketahui oleh orang yang diumpat. Ramai diantara kita memandang remeh soal isu mengumpat sedangkan mengumpat adalah antara salah satu dosa besar.

Walaupun kita sudah tahu agama Islam menegah manusia dari mengumpat dan kita juga sering mendengar Sabda Nabi Muhammad s.a.w iaitu orang yang mencela keperibadian orang lain ibarat memakan daging saudaranya sendiri namun mengapa masih sukar untuk kita mengatasi dari melakukan perkara terlarang ini?

Mengumpat

Mengumpat

Hari ini kita hidup di zaman teknologi yang mencabar apatah lagi dengan kebanjiran media sosial yang pelbagai merancakkan lagi perkembangan arus siber. Mudahnya kita pada hari ini melakukan dosa mulut yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan untuk mengaibkan peribadi seseorang seperti mengumpat di media sosial seperti facebook, whatsapp, Instagram dan sebagainya tanpa memikirkan kesannya kepada individu terbabit malah tiada rasa bersalah yang bersarang di hati seolah-olah menyebarkan aib manusia itu adalah perkara biasa dalam masyarakat kita sedangkan setiap anggota kita pada hari ini akan diminta untuk dipertanggungjawabkan di hadapan Allah s.w.t pada suatu hari nanti.

Dari Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Sesungguhnya kebanyakkan penyebab manusia masuk neraka adalah disebabkan dua lubang.  Para sahabat bertanya; “Wahai Rasulullah, apakah dua lubang itu?” maka baginda menjawab. “Kemaluan dan mulut. Baginda meneruskan. Tahukah kalian apa penyebab kebanyakan orang masuk syurga? Jawab baginda, taqwa kepada Allah dan akhlak yang baik.” 

Jom marilah kita berazam untuk meninggalkan dosa yang dilarang Allah ini. Anggaplah ia sebagai suatu jalan mujahadah dalam usaha memperbaiki amalan kita. Bayangkan, apalah makna sekiranya kita rajin beribadat, kita rajin solat, kita rajin puasa, kita rajin sedekah tapi mulut masih suka mengata keburukan orang? Jangan jadikan ibadah kita tempang kerana perbuatan yang keji seperti mengumpat, mencelah, membuka aib seseorang kerana kita juga bukan sempurna bahkan kita juga punyai banyak keburukan. Bukan mudah untuk meninggalkan suatu kebiasaan tapi usaha kita yang sukar untuk meninggalkan sesuatu perkara yang Allah larang pasti mempunyai ganjaran terbaik di sisi Allah. Berikut adalah kaedah yang anda boleh amalkan untuk elakkan diri dari mengumpat.

Istiqamah dengan zikrullah

Lidah yang sentiasa zikrullah akan kurang membuat maksiat. Hati yang sentiasa mengingati Allah akan kurang keinginan untuk berkata perkara keburukan kerana tidak akan terkumpul dua perkara kejahatan dan kebaikan dalam satu masa. Ketika hati kita jadi pemurah, kita tak bakhil. Bila kita sedang kedekut, kita tak akan jadi pemurah. Bila kita sedang sabar kita tak akan jadi pemarah, maka sibukkan lah diri anda untuk berzikir kepada Allah. Kelak apabila sudah terbiasa menyebut nama Allah, pasti hati kita akan rasa bersalah untuk menyebut keburukan orang. Hati pasti akan terjaga dari melakukan maksiat. Kekanglah hawa nafsu dan keinginan kita dari berkata keburukan dengan jalan berzikir mengingati Allah. 

Tukar topik perbualan

Kita pasti sudah biasa menghadiri majlis yang turut disertai oleh sanak saudara atau jiran tetangga seperti jamuan kenduri atau jamuan hari raya. Kadangkala tanpa kita sedar, kita turut sama menyertai jemaah makcik ‘makcik bawang’ yang suka bercerita tentang perihal orang lain. Alihkan kepada topik lain jika kita mendengar gosip yang kurang enak dibualkan oleh orang di sekeliling kita. Caranya mungkin agak sukar pada awalnya kerana pasti ada di antara mereka yang akan berasa tersinggung namun adalah lebih baik jika kita berani menukarkan kepada suatu topik lain daripada meneruskan perbuatan mengumpat. Jika anda berasa kurang yakin dengan cara ini, anda boleh tukarkan kata-kata keburukan kepada pujian. Mungkin kita asyik berfikir untuk mencari salah seseorang, atau membuka aib seseorang, alangkah indahnya akhlak kita jika kita boleh mengubah umpatan kepada pujian. Jika anda boleh berbuat sedemikian, sememangnya anda adalah orang yang hebat.

Sibukkan diri dengan perkara lain

Adalah lebih baik jika kita sibuk menghitung diri sendiri dari sibuk menghitung keburukan orang lain. Sentiasalah berusaha memperbaiki diri sendiri dengan perkara kebaikan seperti menyertai aktiviti sukarelawan, atau cari hobi yang boleh membuatkan anda leka dengan minat anda. Pendek kata, jangan biarkan masa anda  berlalu untuk perkara yang tidak berfaedah. Gunakan masa lapang anda dengan sebaiknya contoh dengan mempelajari sesuatu perkara yang baru daripada anda sisakan untuk berborak kosong dengan teman. Dengan cara ini, anda boleh mengelakkan diri anda untuk bercerita tentang manusia seperti mengumpat atau mengutuk.

Perbanyakkan berdoa

Sentiasalah berdoa kepada Allah agar Allah menjaga hati kita. Doa agar Allah sentiasa arahkan hati kita kepada kebaikan. Jika kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menjaga diri dari perbuatan maksiat, Allah pasti akan membimbing dan beri petunjuk jalan. Ada suatu doa yang paling banyak dibacakan oleh Nabi Muhammad s.a.w supaya Allah tetapkan hati. Anda boleh amalkan doa ini agar Allah sentiasa tetapkan hati kita pada ketaatan.

Dari ‘Abdullah bin ‘Amru bin Al ‘Ash RA, beliau berkata; Rasulullah SAW berdoa:

اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

“Ya Allah, Zat yang membolak-balikkan hati, arahkanlah hati kami kepada ketaatan kepada-Mu!”

Dalam riwayat At-Tirmizi, Rasulullah sentiasa berdoa dengan doa ini: 

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِك

“Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh