Cara Didik Anak Solat

Mendidik adalah merupakan tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak. Anak- anak mempunyai hak didikan daripada kedua ibu bapanya.  Setiap Ibu bapa berperanan dalam mencorak masa depan setiap anak.

anak

anak

Dalam sebuah hadis disebutkan bahawa:

“Setiap anak dilahirkan secara fitrah, kedua-dua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nsrani atau Majusi.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dengan jelas hadis diatas menyebut tentang ibu bapa perlu memainkan peranan yang cukup besar dalam pendidikan anak-anak dan pembentukan diri yang mulia. Anak kecil ibarat sehelai kain putih yang mencorakkannya adalah ibu bapanya. Hal ini menuntut agar ibu bapa memberikn didikan sempurna kepada anak-anaknya. Sewaktu anak masih kecil, ibu bapa perlu mengambil peluang keemasn ini dalam mendidik mereka, diajar mereka tentang akidah, ibadah, dan akhlak yang baik.Pendidikan ilmu dan amal yang baik akan dapat membentuk nilai kemanusiaan dalam jiwa anak.

Ibarat kata pepatah melayu “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”, Nah, ini kerana sewaktu kecil, minda anak-anak seperti span yang mudah menyerap setiap apa yang mereka lihat dan dengar.

Asas pendidikan yng perlu diterapkan oleh ibu bapa ada tiga iaitu; pendidikan akidah, ibadah dan akhlak.Serba ringkas pengenalan tentang ketiga-tiga asas pendidikan ini.

  • Akidah- Menanam keyakinan terhadap keesaaan Allah dengan melakukan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.
  • Ibadah- Melibatkan perkara fardhu Ain dan fardhu Kifayah dengan diaplikasikan melalui segala bentuk praktikal seperti solat dan puasa.
  • Akhlak- Menanam akhlak yang baik dalam jiwa anak dan menangkis segala akhlak buruk kearah membentuk Muslim yang terbaik.

Namun, fokus penulisan kita hari ini adalah skop pendidikan ibadah kepada anak- anak iaitu “Cara mendidik anak solat”. Berikut antara cadangan bagaimana ibu bapa boleh mendidik anak-anak mereka agar mampu menjalani kewajipan menunaikan solat walaupun dalam usia belum mencapai akil baligh.

MENGHIDUPKAN SUASANA SOLAT BERJEMAAH DI RUMAH

Anak-anak sangat mudah dipengaruhi dengan keadaan sekeliling terutama sewaktu mereka di usia kanak-kanak. Ibu bapa yang bijak perlu mengambil peluang ini untuk menarik perhatian anak mereka apabila melihat sosok kedua ibu bapa mereka melakukan solat berjemaah di rumah. Walaupun tidak pada setiap waktu solat, kerana difahami waktu seharian ibu bapa pastinya terikat komitmen kerja, namun memadai dipraktikkan pada waktu solat maghrib atau isyak misalan.

Buat ibu bapa yang bekerja juga tidak terkecuali untuk mencuba. Disamping itu, penuhi waktu antara maghrib dan isyak dengan aktiviti bersama anak-anak seperti mengaji bersama, bacaan hadis atau potongan ayat Alquran oleh ibu dan bapa. Aktiviti ini sedikit sebanyak mampu menghidupkan suasana penerapan tentang nilai ibadah dalam jiwa anak-anak bermula dengan solat bersama-sama.

 MENGAJAK BUKAN MENYURUH

Sebagaimana ibu bapa maklum bahawa anak-anak akan mudah mendengar ayat ajakan berbanding ayat perintah ataupun suruhan. Oleh sebab itu, seruan buat para ibu bapa agar menggunakan gaya bahasa yang tepat dalam mendidik anak supaya pendidikan itu sampai kepada mereka dan berhasil membentuk peribadi anak-anak yang taat kepada kedua ibu bapa. “Bagaimana acuan begitulah kuihnya”,itulah pepatah yang boleh memberi bukti bahawa jika cara atau hasil sesuatu acuan itu adalah mengikut kaedah tertentu.

Jika salah cara maka hasilnya juga tidak seperti yang kita harapkan. Inilah cabaran bagi setiap ibu bapa dalam mendidik anak. Ibu bapa boleh menggunakan kaedah mengajak anak untuk solat bersama. Bahkan sewaktu bayi lagi ibu bapa biasakan meletakkan anak disebelah sejadah semasa menunaikan solat.

Walaupun mereka kadang lebih tertarik untuk solat ‘main-main’ tetapi sekurang- kurangnya kita cuba menetapkan minda mereka untuk menunaikan solat setiap hari. Kemudian boleh juga diselitkn untuk mengjar mereka cara berdoa selepas solat atau beberapa surah penting dalam solat seperti Surah Alfatihah. Anak- anak yang diperdengarkan ayat-ayat Alqurn atau bacaan doa setiap hari akan lebih mudah untuk menghafal. Jika mereka mudah menghafal ini salah satu bonus untuk mereka dipraktikkan dalam ibadah solat mereka bersama ibu bapa.

SENTIASA MEMBAWA MEREKA HADIR KE MASJID ATAU SURAU

Membudayakan anak-anak hadir ke rumah Allah antara salah satu cara yang paling berkesan untuk menerapkan nilai didikan ibadah kepada anak-anak. Ini juga salah satu cara untuk mendidik anak-anak bersosial dengan masyarakat setempat. Ramai ibu bapa hari ini yang membawa anak-anak mereka seawal usia ke masjid bukan untuk melatih mereka berlari sejauh mata memandang atau sekadar bermain dengan rakan sebaya mereka.

Tetapi melatih mereka seronok ke masjid, dan merasai suasana berada di rumah Allah, lama kelamaan akan menanamkan peri pentingnya kewajipan menunaikn solat. Buat ibu bapa yang ingin membawa anak mereka mencintai masjid, perlu diingat beberapa tips sebelumnya agar  anak-anak taat dan berakhlak baik sepanjang berada di dalam masjid.

Salah satunya adalah memberi pesanan yang berulang-ulang. Ibu dan bapa perlu berpesan tentang adab yang perlu dijaga semasa didalam masjid. Menasihati mereka untuk menghormati orang lain, tidak menganggu dengan membuat kecoh atau bising. Memberi amaran kepada anak secara berperingkat apabila mereka melanggar adab-adab atau peraturan yang kita tetapkan.

Disamping itu, tidak dilupakan untuk memuji mereka jika berjaya berkelakuan baik sepanjang berada di masjid. Tambahan itu, membudayakan anak-anak hadir ke rumah Allah bukan untuk solat semata-mata tetapi menghadiri majlis ilmu dan kelas pengajian serta aktiviti kemasyarakatan.

MENGAMALKAN DOA

Kaedah inilah yang paling penting dilakukan oleh semua ibu bapa. ‘Tanpa doa ibu bapa siapalah kita hari ini’. Anak adalah anugerah yang paling berharga kepada setiap ibu bapa. Walaupun anak itu degil ataupun nakal  sekalipun, pasti ada cara yang sesuai untuk mendidik mereka. Sebagai ibu bapa, kita perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk anak-anak. Petua ini merupakan senjata yang paling tepat untuk berjalan seiring bersama setiap usaha didikan yang telah kita lakukan. Berikut antara beberapa cadangan doa serta disusuli dengan tindakan yang berhikmah :

  • Selalu amalkan baca ‘Ya Latif’ sebanyak 7 kali dan hembuskan di kepala anak sewaktu mereka sedang atau hendak tidur.
  • Setiap pagi, peluk anak sebanyak 3 kali, usap kepalanya dan berselawat sambil berniat dan berdoa dalam hati (agar anak soleh dan solehah, rajin menunaikan solat contohnya)
  • Amalkan juga ayat 40 Surah Ibrahim yang bermaksud, “Wahai Tuhanku, Jadikanlah daku orang yang mendirikan solat, dan zuriat keturunanku. Wahai Tuhan Kami, perkenankanlah doaku.”

Ibu bapa perlu mengambil peluang untuk mendoakan anak-anak kerana doa ibu bapa antara doa yang mustajab di muka bumi ini. Jadikanlah doa cara berkesan dalam memberikan pendidikan kepada anak-anak. Doa itu adalah senjata orang mukmin.

Kesimpulannya, setiap sesuatu kejayaan itu pasti terselit bersamanya usaha. Sesukar mana ujian mendidik anak ini pasti ada cara yang sesuai dan berkesan untuk mereka. Jika dipermudahkan maka bersyukurlah. Jika menghadapi kesukaran, perlu juga bersyukur kerana ini merupakan salah satu ladang pahala kita sebagai bukti kita menjalankan tanggungjawab mendidik serta menjaga amanah Allah berupa anak-anak. Semoga kita beroleh manfaat bersama atas serba sedikit perkongsian ini. In Sya Allah.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Ad Blocker Detected

Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by disabling your ad blocker.

Refresh